ISTIADAT PERTABALAN AGONG: 14 LALUAN YANG DITUTUP AKAN DIBUKA SECARA BERPERINGKAT

20/07/2024 11:17 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Sebanyak 14 laluan yang ditutup sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, akan dibuka  secara berperingkat, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata laluan tersebut ditutup bermula 8 pagi tadi bagi melancarkan perjalanan kenderaan diraja dan orang kenamaan yang hadir pada istiadat itu.

"Apabila masa ketibaan (tetamu diraja dan orang kenamaan) jalan itu ditutup, dan ia dibuka semula apabila majlis (istiadat pertabalan) tamat.

"Situasi yang sama juga dibuat ketika Majlis Santapan Diraja di Istana Negara malam ini," katanya pada sidang media di pekarangan Istana Negara di sini, hari ini.

Hari ini 14 jalan raya sekitar ibu negara ditutup secara berperingkat bermula 8 pagi bagi acara Istiadat Pertabalan dan 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.

Jalan terlibat ialah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana, Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

Mohd Yusri berkata 1,250 pegawai dan anggota terdiri daripada pegawai dan anggota dari JSPT digerakkan bagi penugasan mengiringi orang kenamaan, mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya sepanjang acara sempena istiadat itu yang bermula Khamis lepas hingga 27 Julai ini.

Beliau berkata 378 anggota ditugaskan hari ini bagi membantu kelancaran upacara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung di Istana Negara di sini.

"Kita memandang serius majlis hari ini dan berkaitan (acara) istiadat… kita sudah buat pelbagai persediaan bagi memastikan anggota faham peranan masing-masing kerana tidak mahu kesilapan kecil berlaku.

"Kita hendaklah menikmati peristiwa ini (menganggap ia) sebagai satu peristiwa bersejarah dan saya berterima kasih kepada orang ramai dan agensi yang terlibat, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang bersama memastikan kelancaran istiadat hari ini," katanya.

Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di sini hari ini. Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan