AM > BERITA

BULI SIBER: PASUKAN KHAS TELITI PINDAAN KANUN KESEKSAAN, DIJANGKA BENTANG OKTOBER

21/07/2024 04:40 PM

BUTTERWORTH, 21 Julai (Bernama) -- Pasukan khas melibatkan empat kementerian akan meneliti secara keseluruhan sebelum membuat pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kementeriannya bersama Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi akan melihat dahulu takrifan buli siber yang menurutnya tiada dalam perundangan negara setakat ini.

Bagi lebih memahami amalan di peringkat global, Azalina berkata pihaknya juga bercadang untuk menganjurkan seminar undang-undang berkaitan ancaman siber dengan penglibatan negara luar, sekali gus dapat mempelajari daripada negara lain seperti  Australia, Kanada, United Kingdom dan Singapura memandangkan terdapat pertikaian membabitkan elemen demokrasi dan batas hak asasi.

“Sebab dalam isu buli siber ini, ada orang mengatakan bahawa mereka ada kebebasan nak bercakap apa yang mereka suka… sebab dia kata dalam buli siber ini, mereka tak sentuh (secara fizikal) mereka bercakap sahaja.

“Jadi sekarang, aspek jenayah ini bukan hanya satu kesalahan, dia buat swooping, doxxing (mendedahkan maklumat peribadi seseorang dalam talian tanpa persetujuan), menakut-nakutkan dan lepas itu yang paling dahsyat dia mengapi-apikan, maknanya dia galakkan orang wujudkan kebencian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, Azalina memaklumkan kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang spesifik dan khas untuk kesalahan buli siber.

Beliau berkata cadangan pindaan itu di samping memberi tafsiran kepada terma ‘buli siber’ bagi mengklasifikasikan perbuatan buli siber sebagai suatu kesalahan di Malaysia secara spesifik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan