SUKAN > BERITA

PELAPIS KEBANGSAAN PERKUAT KEM BADMINTON NEGERI SEMBILAN DI SUKMA 2024

21/07/2024 07:27 PM

SEREMBAN, 21 Julai (Bernama) -- Kem badminton Negeri Sembilan diperkuat dengan tujuh pemain pelapis kebangsaan dalam misi mereka meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini. 

Presiden Persatuan Badminton Negeri Sembilan Datuk Ng Chin Chai berkata saingan pada SUKMA kali ini lebih sengit memandangkan kebanyakan pemain muda yang mewakili negeri masing-masing merupakan pemain negara bagi Piala Thomas dan Piala Uber serta Sukan SEA.

Ng berkata lapan pemain lelaki dan lapan wanita berusia antara 16 tahun hingga 19 tahun yang mewakili negeri ini berpotensi meraih dua pingat dalam acara perseorangan wanita, beregu wanita dan berpasukan campuran. 

“Tahap SUKMA kali ini tinggi sebab pemain Piala Thomas dan Uber, Sukan SEA akan beraksi mewakili negeri masing-masing. Sebagai contoh pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh (Wilayah Persekutuan) menang pada dua kejohanan antarabangsa di Eropah dua minggu lepas, bagaimanapun peluang atlet negeri meraih pingat masih cerah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tujuh pemain pelapis tersebut ialah Ung Yi Xing, Heng Zi Hin, Ayu Fu Sheng, Goh Shu Xuan, Hazrilz Haiqal Zaizul Fazli, Lai Ting Cen dan Vaneesa Ng. 

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita, Ung, 17, bertekad menyumbang pingat buat kontinjen Negeri Sembilan pada penampilan keduanya di temasya dwitahunan itu meskipun bakal berdepan cabaran daripada rakan sepelatihnya dalam skuad kebangsaan.

Ung yang berasal dari Port Dickson berkata persediaan menggalas cabaran SUKMA kali ini lebih baik setelah beraksi pada Sukan Universiti ASEAN awal bulan ini walaupun tewas bagi penentuan pingat gangsa.

“Saya jangka saingan sengit daripada Siti Nurshuhaini Azman (Selangor) iaitu penyandang pingat emas SUKMA dan seorang lagi dari Wilayah Persekutuan. Persediaan kali ini lebih baik berbanding dua tahun lepas dan saya juga menyertai beberapa kejohanan antarabangsa yang dapat meningkatkan keyakinan untuk bersaing," katanya.

Sementara itu, Heng, 17, turut berazam menampilkan prestasi terbaiknya untuk beraksi pada SUKMA sulungnya bersama rakan seperjuangan Joshua dalam acara beregu lelaki.

Berasal dari Seremban, Heng tidak mahu meletakkan sasaran pingat terlalu awal sebaliknya fokus kepada meningkatkan kekuatan fizikal dan strategi untuk melepasi setiap peringkat perlawanan.

"Sebagai persediaan, saya menyertai beberapa kejohanan peringkat nasional dan pengalaman itu akan dimanfaatkan untuk beraksi lebih baik," katanya.

Acara badminton SUKMA 2024 dijadual berlangsung di Dewan Tertutup, Sibu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan