AM > BERITA

META MOHON MAAF KEPADA RTM, MAJLIS SUKAN NEGERI JOHOR ATAS KESALAHAN TERJEMAHAN DI FACEBOOK

22/07/2024 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- META hari ini memohon maaf kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majlis Sukan Negeri Johor dan pihak lain yang terkesan dengan kandungan Facebook RTM yang tular berkaitan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, Sabtu lepas.

Pengarah Dasar Awam Asia Tenggara META Rafael Frankel dalam satu kenyataan berkata META menyedari berlaku kesilapan dalam terjemahan automatik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris yang menjejaskan hantaran Facebook berkaitan istiadat pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim serta hari keputeraan isteri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

“Kami telah pun menyelesaikan kesilapan teknikal ini. Kami amat menghormati Keluarga kerabat Diraja Malaysia dan memohon maaf dengan ikhlas kepada RTM, Majlis Sukan Negeri Johor, serta pihak-pihak lain yang terkesan dengan kejadian ini," katanya.

Semalam, RTM menjelaskan bahawa mereka tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris seperti yang tular di Facebook berhubung pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sabtu lalu.

Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan memaklumkan apa yang  dipaparkan di laman Facebook rasmi RTM adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.

RTM telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi META mengenai terjemahan yang tidak tepat oleh sistem META.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan