AM > BERITA

MENDEPANI CABARAN HEPATITIS DI MALAYSIA

22/07/2024 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Stigma yang dikaitkan dengan penyakit hepatitis atau radang hati menjadi salah satu halangan kepada pengurusan penyakit itu dengan berkesan malah membuatkan orang ramai enggan melakukan saringan.

Pakar perunding gastroenterologi dan hepatologi di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway Dr Sheikh Anwar Abdullah berkata jenis hepatitis yang paling biasa di Malaysia ialah B dan C dengan kelaziman Hepatitis B adalah kira-kira satu peratus, manakala Hepatitis C menjejaskan kira-kira 2.5 peratus daripada populasi umum.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 354 juta orang di seluruh dunia menghidapi Hepatitis B atau C dan di Malaysia, kira-kira satu juta orang telah dijangkiti virus Hepatitis B (HBV) dan dianggarkan 2.5 peratus orang dewasa pula dijangkiti virus Hepatitis C.

“Hepatitis A dan E disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar, manakala B, C dan D merebak melalui darah dan cecair badan. Pemahaman mengenai cara penularannya adalah penting untuk pencegahan yang berkesan,” kata Dr Sheikh Anwar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cabaran penting dalam menguruskan Hepatitis C ialah sifatnya yang tidak menunjukkan gejala sehingga menyebabkan ia sering lambat didiagnosis setelah penyakit itu berkembang ke peringkat yang teruk, sekali gus berpotensi menyebabkan sirosis atau kanser.

“Majoriti kes adalah tidak bergejala. Jika anda tidak melakukan pemeriksaan, anda tidak tahu anda menghidapnya sehingga ia sudah berubah menjadi kronik,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Dr Sheikh Anwar berkata pemeriksaan awal dan diagnosis adalah penting untuk mencegah komplikasi Hepatitis C, manakala susulan berkala diperlukan oleh pesakit Hepatitis B bagi memantau fungsi hati dan mengesan tanda awal kanser hati.

Beliau juga menjelaskan rawatan untuk Hepatitis B kronik bertujuan untuk menghalang virus dan mencegah perkembangan penyakit, manakala rawatan untuk Hepatitis C melibatkan kemajuan ubat antivirus dan pelan rawatan.

“Rawatan kepada Hepatitis B bukanlah untuk mengubatinya, tetapi hanya untuk menyekat virus dan memperlahankannya. Ia merupakan perjuangan yang perlu pesakit hadapi seumur hidup. Bagi Hepatitis C, ubatan antivirus kini boleh menyembuhkan jangkitan sebanyak kira-kira 98 peratus kes dalam masa sepantas tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan secara rutin terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi seperti pekerja penjagaan kesihatan, individu yang melakukan perbuatan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan hepatitis adalah penting untuk mengesan penyakit tersebut lebih awal dan memulakan rawatan untuk mengelakkan komplikasi.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan antenatal bagi wanita hamil untuk mencegah jangkitan daripada ibu kepada anak.

“Kami kini memberi rawatan antivirus kepada wanita hamil yang menghidap Hepatitis B bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada bayi,” katanya.

Bagi menangani stigma ketara terhadap penyakit itu, Dr Sheikh Anwar menyeru agar lebih banyak kempen kesedaran awam dilakukan untuk mendidik orang awam tentang penyakit itu, penularannya serta kepentingan pengesanan dan rawatan awal.

Dr Sheikh Anwar juga berkongsi bahawa program vaksinasi merupakan salah satu pencapaian penting dalam memerangi Hepatitis B dan sejak 1989 pihaknya telah memberikan vaksin kepada bayi baru lahir sekali gus mengurangkan kadar penularannya secara mendadak.

Dalam kalangan pelajar sekolah, beliau berkata kelaziman virus hepatitis B di Malaysia telah menurun secara berterusan daripada 2.5 peratus pada tahun 1985 kepada 0.4 peratus pada 1996, dengan 92.7 peratus daripada jumlah yang telah menerima vaksinasi itu dilindungi di bawah Program Pengembangan Imunisasi oleh WHO dan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menekankan, suntikan susulan dan penggalak adakalanya diperlukan jika tahap antibodi menurun.

Dr Sheikh Anwar berkata usaha berterusan bagi mendapatkan vaksinasi, pemeriksaan rutin dan pendidikan awam adalah penting untuk memerangi hepatitis dan meningkatkan taraf kesihatan awam di Malaysia.

Beliau berkata bagi individu yang menghidap hepatitis, pengubahsuaian gaya hidup memainkan peranan penting dalam menguruskan penyakit itu dengan mengelakkan pengambilan alkohol dan ubat-ubatan tradisional, selain mengekalkan diet yang sihat serta mengelakkan jangkitan yang menyumbang kepada komplikasi hati. 

SMC yang ditubuhkan pada tahun 1999 merupakan hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia yang telah banyak memenangi pelbagai anugerah termasuk tersenarai antara 250 hospital terbaik dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 dan yang pertama dalam negara. 

Hospital yang dilengkapi dengan 28 Pusat Kecemerlangan itu turut mendapat akreditasi daripada Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).

-- BERNAMA 

 

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan