AM > BERITA

DISERTAI TIMB MENTERI PETRA, ST, TNB GEMPUR SINDIKET LOMBONG BITCOIN DI MANJUNG

23/07/2024 04:02 PM

SERI MANJUNG, 23 Julai (Bernama) -- Menyasarkan kawasan perumahan baharu yang kurang berpenghuni dan kemudian menyewa kediaman di situ sebelum mengubah suai pendawaian elektrik untuk disambungkan ke mesin bitcoin, merupakan modus operandi baharu sindiket terbabit.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang turut sama turun padang dalam serbuan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bandar Baru Setia Awan Perdana, dekat Sitiawan, pagi tadi.

Malah, katanya sindiket itu juga menyasarkan premis perniagaan dalam kawasan perumahan yang sama yang kesemuanya 'beroperasi' 24 jam untuk melakukan aktiviti melombong bitcoin. 

Menurut Akmal Nasrullah, dalam operasi diketuai ST itu, pemeriksaan telah dijalankan ke atas dua premis perniagaan dan 14 unit perumahan dengan siasatan mengikut Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

"Premis pertama yang kita serbu menemukan 24 mesin melombong bitcoin dan yang kedua terdapat 60 mesin yang kita anggarkan telah beroperasi sejak setahun yang lalu dengan ketirisan kerugian setiap bulan daripada dua premis ini bernilai RM90,000. 

"Selain itu, 14 rumah yang diperiksa didapati mempunyai 10 mesin dengan kadar kerugian kecurian elektrik RM10,000 setiap rumah dengan nilai keseluruhan kerugian RM230,000 setiap bulan, hasil sambungan secara haram ini," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ST Datuk Ir Ts Abdul Razib Dawood dan Pengerusi TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) Ir Ts Zahari Dollah. 

Akmal Nasrullah berkata pihaknya percaya sindiket melombong mata wang digital itu kini beralih menyewa unit kediaman selepas premis perniagaan sering diserbu pihak berkuasa. 

"Daripada dua tiga rumah yang kita serbu tadi, kesemuanya menggunakan taktik menggunakan pemampat pendingin hawa bagi menutup ubah suai pendawaian yang dilakukan manakala di premis perniagaan mereka tutup tengah kotak besi," katanya.

Beliau berkata sindiket yang sama berkemungkinan menjadi dalang operasi melombong bitcoin di kesemua premis yang diserbu pagi tadi, memandangkan kelengkapan termasuk jenis model kotak yang sama digunakan di semua premis namun siasatan lanjut masih dijalankan.  

"Sindiket juga menjadikan bilik operasi melombong ini dilengkapi dinding kedap bunyi bagi mengelak bunyi bising mesin tersebut didengari orang luar atau jiran di sebelah rumah," katanya. 

Akmal Nasrullah berkata perbuatan mencuri elektrik oleh pelombong bitcoin didapati semakin serius dengan kes yang dikesan kian meningkat. 

"Kecurian tenaga melalui aktiviti perlombongan bitcoin yang semakin berleluasa di negara ini sudah mengakibatkan kerugian RM3.4 bilion dalam tempoh lima tahun dan tahun lepas sahaja RM477 juta. 

"...manakala sehingga Jun lepas sahaja aktiviti kecurian arus elektrik melibatkan kerugian RM200 juta yang kita jangka akan naik lagi jika ia tidak dibanteras pada kadar segera," katanya. 

Beliau berkata nilai kerugian itu memberi kesan menyeluruh kepada negara malah rakyat juga menanggung kerugian akibat pelarasan tarif atau sebagainya.

"Tindakan sambungan elektrik secara haram bukan sahaja merugikan TNB malah turut mengundang 90 peratus risiko kebakaran susulan penyambungan itu tidak ikut spesifikasi.

"Tindakan pencegahan itu penting bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan kelestarian pengurusan bekalan elektrik negara dan ia turut menuntut kerjasama daripada orang ramai untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa jika ada premis atau rumah yang diragui, " katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan