AM > BERITA

ANAK PEMANDU TEKSI, TUKANG CUCI RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG STPM 2023

23/07/2024 04:46 PM

GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Kepayahan ibu bapa yang bekerja sebagai pemandu teksi dan tukang cuci mendorong Nurhafizah Abdul Raseed untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Nurhafizah, 20, anak bongsu daripada dua beradik itu merupakan seorang daripada lapan pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin (KTEHZA) yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Beliau berkata bapanya Abdul Raseed M. Abdul Karim, 57, menyara keluarga dengan bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya Hasnah Hashim, 56, merupakan tukang cuci.

“Ibu bapalah yang menjadi inspirasi kepada saya kerana mereka bukan dari latar belakang berpendidikan tinggi. Mak hanya belajar setakat tingkatan lima dan ayah pula tingkatan tiga saja.

“Tambahan lagi, mereka telah bersusah payah membesarkan saya termasuk mencari duit untuk saya menyambung belajar, jadi, saya nekad untuk buat yang terbaik dalam peperiksaan kerana mahu mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM di sini, hari ini.

Bercerita mengenai cabaran ketika belajar, Nurhafizah memberitahu perkara utama yang sering menjadi kekangan adalah dari segi kewangan namun beliau bersyukur kerana mempunyai guru yang sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan. 

Malah, gurunya juga menasihati beliau supaya menduduki peperiksaan ulangan ketika semester satu dan dua bagi memperbaiki keputusan sehingga akhirnya berjaya menamatkan pengajian tingkatan enam dengan PNGK 4.0

Beliau yang berasal dari Sungai Pinang itu bercita-cita menjadi seorang pendidik dan kini menunggu panggilan menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang perakaunan.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang KTEHZA yang turut memperoleh PNGK 4.0, Amsyar Muawiyah Mohd Sofi, 20, berkata beliau tidak menjangkakan meraih keputusan itu kerana hanya mendapat 3.8 mata ketika semester tiga.

“Selain guru, saya berterima kasih kepada ibu, Marziah Ismail yang telah bekerja keras selama ini sebagai tukang cuci di mahkamah dengan pendapatan RM1,500 untuk membesarkan saya dan adik yang kini berusia 18 tahun.

“Ibu selalu pesan kamilah yang menjadi harapan keluarga dan minta belajar elok-elok selepas ayah meninggal secara mengejut akibat masalah jantung ketika saya berusia 16 tahun, jadi, kejayaan hari ini saya dedikasikan khas untuk ibu,” katanya yang memasang impian menjadi seorang guru.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang Roland@Rozaidi Abu Hassan berkata seramai 70 calon di negeri ini memperoleh PNGK 4.0.

Beliau berkata sebanyak 1,743 calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) telah menduduki peperiksaan STPM 2023 tidak termasuk calon persendirian dan daripada jumlah itu, 1,727 calon layak mendapat sijil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan