AM > BERITA

TAHAP KESELAMATAN PASAR RAYA MANJOI DITINGKATKAN UNTUK ELAK KEMALANGAN - MYDIN

23/07/2024 04:39 PM

IPOH, 23 Julai (Bernama) -- Pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) memaklumkan pihaknya akan meningkatkan tahap keselamatan di bangunan Pasar Raya Besar Mydin Manjoi yang sedang dibaik pulih susulan kejadian runtuhan dinding pasar raya berkenaan semalam.

Mydin dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan memastikan kontraktor dilantik mengikut prosedur operasi standard ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang.

“Pihak kami mengesahkan insiden kemalangan kecil yang berlaku melibatkan dua remaja di kawasan berhampiran cawangan kami yang sedang dibaik pulih pada kira-kira jam 4.45 petang semalam.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” kata kenyataan itu.

Semalam, dua remaja lelaki cedera ringan selepas terkena serpihan batu bata yang jatuh akibat daripada runtuhan dinding pasar raya berkenaan.

Kejadian runtuhan itu melibatkan dinding sebelah kanan iaitu bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta di sini dan membabitkan sebuah motosikal yang sedang melalui jalan bersebelahan pasar raya itu.

Pada 10 Mac, pasar raya berkenaan telah terbakar berpunca daripada kerosakan panel pembahagi elektrik di bangunan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan