LELAKI PERDAYA WARGA EMAS MELALUI PEMOHONAN BANTUAN EKASIH DITAHAN

23/07/2024 07:42 PM

IPOH, 23 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan bantuan eKasih sejak Januari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM16,250 dengan mensasarkan golongan warga emas sebagai mangsa.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya berjaya menahan suspek berusia 49 tahun itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah pada 2 Julai lalu setelah menerima 38 laporan mengenai kes penipuan berkenaan.

"Suspek menggunakan modus operandi mendampingi warga emas berusia lingkungan antara 50 hingga 80 tahun sebagai sasaran untuk diperdayakan.

“Kebanyakan mangsa ditemui suspek di kawasan berhampiran hospital, bank, medan selera, pasar raya, pasar awam dan stesen bas. 

"Suspek menyamar kononnya sebagai Pegawai Bantuan eKasih dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai kira-kira RM300 sehingga RM1,000  bagi proses permohonan bantuan eKasih dan pembukaan akaun bank.

“Setelah memperoleh wang tunai dari mangsa, suspek akan berpura-pura keluar daripada bank tersebut bagi membuat salinan fotokopi kad pengenalan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang diminta menunggu di bank hanya menyedari telah ditipu apabila suspek tidak datang kembali selain suspek turut melarikan wang tunai serta kad pengenalan mangsa.

Azizi berkata sebuah telefon bimbit dan pakaian yang digunakan suspek semasa memperdayakan mangsa turut dirampas dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan kes penipuan.

“Suspek akan menghadapi 36 pertuduhan di beberapa mahkamah di Perak bermula 24 Julai ini  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 kanun sama.

"Justeru itu, polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran bantuan kewangan dari mana-mana individu tidak dikenali yang meminta bayaran proses terlebih dahulu. 

"Semak dahulu dengan agensi berkaitan untuk pengesahan.

“Pembayaran tunai kepada mana-mana individu di luar kaunter pejabat pembayaran mempunyai risiko perdayaan yang amat tinggi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan