AM > BERITA

MOHAMAD KETUAI DELEGASI MALAYSIA KE MESYUARAT MENTERI LUAR ASEAN DI LAOS

23/07/2024 11:34 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 23 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57) dan Mesyuarat Berkaitan di Vientiane, Laos dari 24 hingga 27 Julai.

Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay kira-kira 8.40 malam waktu tempatan pada Selasa ditemani isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin.

Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud berkata tumpuan utama AMM ke-57 termasuk perbincangan mengenai kemajuan pembangunan Komuniti ASEAN, bidang keutamaan dan keberhasilan ASEAN 2024, susulan kepada Kajian dan Keputusan Pemimpin ASEAN mengenai Pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara, hubungan luar kumpulan serta isu serantau dan antarabangsa semasa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Para Menteri Luar juga akan membincangkan persiapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2024 di Laos,” katanya kepada media Malaysia di sini, Selasa.

Edi Irwan berkata Mohamad juga akan menghadiri AMM ke-57  bagi Sesi Pleno dan Permukiman yang akan diadakan pada 25 Julai di Pusat Konvensyen Nasional (NCC).

Selain AMM, Menteri Luar akan menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN Campur Tiga (APT FMM) ke-25, Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-14 (EAS FMM) dan Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-31.

Beliau juga dijadualkan menyertai mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Mesyuarat Suamuka bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Pasca Persidangan Menteri Luar ASEAN (PMC) dengan 11 Negara Rakan Dialog secara berasingan iaitu Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Malaysia merupakan negara penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Kanada bagi tempoh 2021-2024. Dalam hal ini, Menteri Luar dan Menteri Luar Kanada akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat PMC +1 dengan Kanada pada 26 Julai 2024.

Edi Irwan berkata penyertaan Malaysia dalam AMM ke-57 dan mesyuarat berkaitan adalah penting sebagai persediaan negara untuk mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2025.

“AMM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan merupakan platform yang baik bagi Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama termasuk agenda pembangunan ekonomi, keselamatan maritim, keterjaminan makanan, perubahan iklim dan peralihan tenaga,” katanya.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu juga mencerminkan komitmennya dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara di tengah-tengah ketidaktentuan keselamatan dan sosio-ekonomi.

Edi Irwan berkata Mohamad juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau semasa AMM ke-57 di sini, termasuk satu dengan Norway.

“Pertemuan dua hala ini amat penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara lain, membina persefahaman antara kedua-dua pemimpin mengenai isu serantau dan global, membawa kepentingan bersama untuk semua,” katanya.

Beliau berkata Mohamad akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith di NCC.

Duta itu berkata pada akhir AMM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan pada Sabtu, Menteri Luar ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama bagi AMM ke-57 yang memperincikan hasil rundingan serta keputusan strategik mengenai perkara-perkara berkepentingan kepada ASEAN yang dicapai semasa mesyuarat itu.

Menurut beliau, semasa lawatannya di sini, Menteri Luar juga dijadualkan untuk mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Laos.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan