AM > BERITA

STPM 2023: JOHOR, SABAH, PAHANG CATAT CALON PALING RAMAI PEROLEH PNGK 4.00

24/07/2024 12:19 AM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Johor, Sabah dan Pahang mencatatkan jumlah calon paling ramai memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Johor merekodkan 171 calon memperoleh PNGK 4.00 berbanding 160 calon pada STPM 2022 iaitu peningkatan 0.05 peratus.

Sabah pula merekodkan 130 calon memperoleh PNGK 4.00 berbanding 75 calon pada 2022, manakala Pahang mencatatkan 106 calon berbanding 78 calon pada 2022.

 Di KELANTAN, negeri itu menyaksikan peningkatan PNGK kepada 2.97 mengatasi PNGK peringkat nasional iaitu 2.84.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan negeri Mohd Hassany Hashim berkata sebanyak 3,782 calon menduduki peperiksaan STPM 2023 berbanding 3,358 calon pada 2022.

Di SARAWAK, sebanyak 88 calon mencapai PNGK 4.00 manakala 1,910 calon lagi mendapat PNGK 3.00 hingga 3.99.

Di PERAK, menyaksikan calon memperoleh PNGK 4.00 bagi peperiksaan STPM 2023 menurun dengan 82 orang  berbanding 108 orang pada STPM 2022.

Di TERENGGANU, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Wan Zuraidi Che Wan Zaid pula berkata negeri itu merekodkan PNGK 3.11 pada peperiksaan STPM kali ini berbanding 3.04 pada STPM 2022 sekali gus mengatasi PNGK nasional 2.84.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Mahadhir Ismail berkata 74 daripada 2,850 calon yang menduduki peperiksaan itu memperoleh PNGK 4.00 dan secara keseluruhan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) bagi STPM 2023 ialah 2.88 berbanding 2.84 pada 2022.

Di PULAU PINANG, Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin (KTEHZA) muncul paling ramai calon memperoleh PNGK 4.00 bagi negeri itu iaitu 70 orang pada peperiksaan STPM kali ini dengan seorang pelajarnya, Tan Jung Sheng turut dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2023 bagi kategori istimewa masalah penglihatan.

Di NEGERI SEMBILAN, sebanyak 45 pelajar di negeri ini memperoleh PNGK 4.00 iaitu 42 daripadanya adalah pelajar aliran sains sosial, seorang pelajar aliran sains dan dua calon sekolah agama dengan PNGK negeri 2.82 iaitu sama seperti tahun 2022.

Di MELAKA, daripada 1,093 calon yang menduduki STPM 2023 di negeri itu sebanyak 21 calon mendapat PNGK 4.00.

Di PERLIS, Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Negeri Ayub Ahmad berkata 16 pelajar daripada 396 calon yang menduduki peperiksaan itu mendapat PNGK 4.00.

Di Wilayah Persekutuan LABUAN, peratus lulus penuh peperiksaan STPM adalah 99.28 peratus, meningkat 2.03 peratus berbanding STPM 2022 manakala empat calon di wilayah itu mencapai PNGK 4.00.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan