AM > BERITA

JIMNS TAHAN 102 PENDATANG ASING TANPA IZIN

24/07/2024 09:42 PM

SEREMBAN, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 102 pendatang tanpa izin menerusi serbuan di 18 premis di sekitar Seremban dan Jelebu bermula semalam dan hari ini.

Pengarah JIMNS Kennith Tan Ai Kiang berkata anggotanya telah memeriksa 120 warga asing yang berada di tapak projek pembinaan, taman perumahan, pusat hiburan, restoran dan rumah kedai.

Beliau berkata pemeriksaan dijalankan berdasarkan aduan penyalahgunaan pas lawatan kerja sementara (PLKS) serta tidak mempunyai dokumen dan permit yang sah iaitu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Semasa serbuan, seorang daripada mereka nekad terjun ke dalam longkang, selain itu ada yang bersembunyi di atas siling sempit serta cubaan menyorok di dalam kawasan semak bagi mengelak dicekup anggota penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tan berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar, India, China dan Thailand, berumur antara 17 hingga 55 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Nilai untuk siasatan lanjut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan