DUNIA > BERITA

MALAYSIA ALU-ALUKAN DEKLARASI BEIJING MENGENAI PERPADUAN NASIONAL PALESTIN

24/07/2024 10:21 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan Deklarasi Beijing bagi menamatkan dan mengukuhkan perpaduan rakyat Palestin yang dimeterai oleh wakil-wakil Palestin di Beijing pada 23 Julai di bawah kerangka Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) untuk membentuk kerajaan sementara perpaduan nasional.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan Deklarasi Beijing adalah pencapaian besar bagi Palestin dalam mewujudkan perpaduan dan perdamaian nasionalnya.

“Malaysia percaya ini akan membawa manfaat kepada semua pihak, termasuk rakyat Palestin. Kami menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk terus komited terhadap objektif Deklarasi yang penting ini,” kata kementerian itu.

Kementerian Luar berkata Malaysia turut memuji inisiatif dan usaha China yang telah merealisasikan Deklarasi itu.

Katanya, walaupun proses perdamaian adalah isu dalaman pelbagai kumpulan rakyat Palestin, sokongan daripada masyarakat antarabangsa juga amat penting. 

"Malaysia menyambut baik usaha ini dan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mencapai keamanan. Malaysia tetap berharap bahawa perjanjian ini akan membuka jalan bagi kestabilan dan kemakmuran yang berkekalan di rantau ini.

“Sama pentingnya adalah komitmen semua pihak untuk bekerjasama menangani cabaran yang dihadapi oleh Palestin, termasuk menentang penempatan haram serta memastikan saluran bantuan kemanusiaan dan perubatan yang berterusan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Malaysia tetap teguh dalam sokongannya terhadap penubuhan negara Palestin dan menggesa kerajaan-kerajaan yang belum mengiktiraf negara Palestin untuk berbuat sedemikian.

“Malaysia bersedia memainkan peranan mengikut kemampuan untuk menyumbang kepada pelaksanaan Deklarasi yang berkesan,” katanya.

Pada Selasa, wakil daripada 14 kumpulan Palestin, termasuk Fatah dan Hamas menandatangani deklarasi itu, berikrar untuk menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan selepas rundingan perdamaian selama tiga hari yang dihoskan oleh China di Beijing.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan