AM > BERITA

PENGGUNA MEDIA SOSIAL PERLU HATI-HATI, KUKUHKAN TETAPAN SEKURITI DAN PRIVASI - PAKAR

24/07/2024 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pengguna media sosial perlu berhati-hati mengendalikan platform itu dengan memperkukuh tetapan sekuriti dan privasi bagi menangani insiden berkaitan jenayah siber.

Timbalan Pengarah (Pengurusan Strategik) Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Nur Izura Udzir berkata mereka perlu mengambil langkah kawalan seperti menggunakan verifikasi dua langkah, cap jari, pengecaman wajah serta nombor pas pengesahan transaksi (OTP).

“Pengguna perlu berhati-hati, berasa curiga dan jangan mudah terpedaya memandangkan terlalu banyak penipuan seperti scam, buli siber yang berkongsi kandungan sensitif serta bersifat menghasut. Selain mengemas kini tetapan media sosial, pengguna perlu mengemas kini pengetahuan isu semasa.

“Mereka juga dinasihati untuk elak menekan pautan tidak yakin dan sahih yang mempunyai fail aplikasi (APK) iaitu kod yang boleh menceroboh peranti serta memudahkan penyangak siber,” katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata media sosial seperti WhatsApp dan Telegram perlu lebih bertanggungjawab serta memberikan komitmen yang serius untuk menyediakan platform selamat kepada pengguna dengan mengawal kandungan dan hantaran.

“Mereka perlu memberi komitmen serius untuk membanteras jenayah komersial, kanak-kanak dan sosial yang boleh digunakan seperti pornografi, penggunaan dadah dan cetak rompak.

“Penyedia media sosial perlu ambil serius kerana perkara ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan