AM > BERITA

KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN CADANGAN PEMERBADANAN JABATAN INSOLVENSI DALAM MASA TERDEKAT - AZALINA

25/07/2024 04:55 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pemerbadanan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) selaras dengan amalan terbaik global melalui perbandingan dengan negara-negara lain, dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata usaha itu akan mengambil kira pandangan pakar insolvensi rentas sempadan, pakar dalam dan luar negara serta pandangan rakyat umum dalam memastikan pentadbiran insolvensi yang lebih efisien.

Beliau berkata usaha itu bertujuan memastikan pentadbiran insolvensi yang lebih cekap melalui pengurusan yang berkesan dan pembubaran aset untuk membayar hutang tertunggak, terutamanya melibatkan syarikat yang melalui prosiding insolvensi, supaya hasil itu dapat menyumbang kembali kepada kitaran ekonomi negara.

“Oleh itu sebagai satu hala tuju baharu, MdI akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk cadangan pemerbadanan MdI selaras dengan amalan global terbaik,” katanya pada majlis sambutan 100 tahun dan Hala Tuju Baharu MdI di sini hari ini.

Majlis sambutan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan antara yang turut hadir ialah Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. 

MdI merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang diberi peranan untuk mentadbir hal ehwal kes-kes kebankrapan serta hal ehwal seseorang bankrap, di samping mentadbir syarikat yang telah digulungkan serta pertubuhan dan kesatuan sekerja yang dibatalkan pendaftarannya.

Aktiviti teras MdI melibatkan pengzahiran dan penghasilan harta si bankrap, menentusahkan tuntutan yang difailkan oleh pemiutang dan seterusnya mengagihkan hasil yang diperoleh kepada pemiutang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan