AM > BERITA

HARI KEBAJIKAN HAIWAN PUPUK KESEDARAN MASYARAKAT, ADUAN DERA HAIWAN MENINGKAT

25/07/2024 06:45 PM

KEPALA BATAS, 25 Julai (Bernama) -- Hari Kebajikan Haiwan yang dianjurkan setiap tahun berjaya memberi impak positif dengan meningkatkan dan memupuk kesedaran masyarakat dalam menjaga kebajikan haiwan di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid berkata ia dapat dilihat daripada kesedaran orang ramai yang mula membuat aduan berhubung penderaan haiwan supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau memaklumkan pihaknya menerima peningkatan aduan berhubung penderaan haiwan dengan 1,249 kes diterima pada 2021, seterusnya meningkat kepada 1,580 kes pada 2022, 2,622 kes (2023) dan 2,162 kes pada enam bulan pertama tahun ini.

"Masyarakat mula sedar bahawa kebajikan haiwan adalah serius.

“Ini menunjukkan ada impak daripada Hari Kebajikan Haiwan, promosi kesedaran dan undang-undang ketat yang kita laksanakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Kebajikan Haiwan Tahun 2024 di Kampung Agong, Penaga di sini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol.

Akma berkata anjuran Hari Kebajikan Haiwan itu juga mendapat sokongan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama menjalankan kempen dan promosi kebajikan serta keprihatinan terhadap haiwan.

Mengenai Hari Kebajikan Haiwan 2024, beliau berkata buat julung kalinya, sambutan tersebut diadakan di luar ibu pejabat iaitu Pulau Pinang dan tahun ini dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dengan kerjasama DVS Pulau Pinang, Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia, Murni Ekspo dan Kampung Agong.

Beliau berkata Hari Kebajikan Haiwan diadakan bertujuan mempromosikan kebajikan haiwan seterusnya meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung pemilikan bertanggungjawab, ehsan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap haiwan.

Antara aktiviti menarik sempena Hari Kebajikan Haiwan 2024 ialah Animal Welfare Fun Run, reruai pameran kebajikan haiwan di Pet Ekspo Pulau Pinang, Animal Welfare Fun Game dan pertandingan mewarna.

Selain itu, menjelang Hari Kebajikan Haiwan Tahun 2024, turut diadakan pengisian seperti pertandingan pidato sekolah menengah, pertandingan melukis doodle dan mewarna secara dalam talian dan pertandingan fotografi peringkat pelajar universiti.

Sementara itu, DVS dengan kerjasama Murni Expo pula akan menganjurkan Pet Ekspo pada 27 hingga 28 Julai ini di Spice Arena, Bayan Baru dekat sini.

Akma berkata DVS juga sentiasa komited melaksanakan hebahan dan inisiatif kepada orang awam dalam memupuk serta meningkatkan kesedaran berkaitan kebajikan haiwan di negara ini.

Beliau berkata DVS turut menasihati individu atau persatuan berkaitan haiwan untuk menyalurkan terus aduan berhubung kebajikan haiwan kepada pihaknya melalui pautan sistem dalam talian awa.dvs.gov.my (MyAnimalwelfare).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan