AM > BERITA

PEMANGKU RAJA PERLIS BERANGKAT KE NAMIBIA UNTUK LAWATAN KHAS

25/07/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Namibia dalam lawatan khas yang disertai delegasi berprofil tinggi negeri itu dari 22 hingga 24 Julai.

Turut berangkat sama, anakanda baginda Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. 

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) Prof Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.

Semasa di Namibia, delegasi itu mengunjungi Pusat Islam Windhoek, organisasi Islam utama di Namibia untuk pertemuan dengan umat Islam dan ahli lembaga pengarah mereka dan mengadakan perbincangan termasuk potensi kerjasama seperti sumbangan kepada dapur umum.

Menurut kenyataan yang dikongsi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek pada Khamis, delegasi itu turut membincangkan pemberian 15 biasiswa untuk pelajar Muslim di Namibia bagi melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Malaysia.

Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan replika cek US$4,000 untuk menyokong keperluan komuniti Muslim semasa solat hari raya, termasuk pembelian khemah tertutup dan pemanas untuk keadaan musim sejuk.

Delegasi itu juga melawat Masjid Al Hidayah, terletak kira-kira 10 kilometer dari Windhoek untuk menilai keadaan madrasah dan mendengar bacaan Al-Quran oleh kanak-kanak Muslim.

Syed Faizuddin dan putera baginda berkenan menghidangkan sup kepada mereka yang memerlukan di Pusat Islam dan Masjid Al Hidayah.

Syed Faizzuddin dan putera baginda turut berangkat melawat International University of Management (IUM) Namibia, universiti seinduk UNIMAP,  yang juga disertai delegasi untuk bertemu dengan pengasas, ahli lembaga pengarah, pensyarah dan pelajar.

Pemangku Raja Perlis turut berkenan menanam pokok kurma Medjool Namibia di universiti itu sebagai tanda persahabatan antara Malaysia dan Namibia.

Semasa di Namibia, delegasi berkenaan melawat Pusat Pemulihan Namibia, Muzium Kemerdekaan Namibia, sebuah stadium bola sepak dan Perbadanan Penyiaran Namibia (NBC).

Delegasi itu juga melawat Rumah Sembelihan Daging Halal Namibia (MEATCO) untuk melihat operasinya dan meneroka peluang kerjasama lanjut untuk meningkatkan perdagangan Malaysia-Namibia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan