AM > BERITA

PROGRAM RAWATAN DAN PEMULIHAN AADK BERKESAN

25/07/2024 09:47 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan program rawatan dan pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) didapati berkesan dan bertepatan dengan trend penagihan semasa selain turut mendapat rujukan dari negara-negara luar.

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menetapkan dua petunjuk prestasi utama (KPI) bagi mengukur kejayaan Pelan Strategik AADK setiap tahun dan ia berjaya dicapai.

KPI pertama adalah untuk menurunkan kadar penagih dadah tidak melebihi 400 bagi setiap 100,000 penduduk, manakala KPI kedua iaitu meningkatkan Kadar Kepulihan Klien hingga 80 peratus menjelang 2025.

Pada tahun lepas, sebanyak 386 orang direkodkan bagi setiap 100,000 penduduk bagi kadar penagihan dadah.

"Pencapaian pada 2023 bagi KPI kedua kadar kepulihan klien adalah seramai 14,890 klien berbanding  19,820 klien yang dinilai kekal dalam pulih bagi tempoh ditetapkan.

"Pencapaian ini jelas membuktikan, ramai klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan AADK kekal pulih dan nilainya mencapai 75.1 peratus," menurut AADK.

Kenyataan berkenaan menyatakan pencapaian berkenaan dinilai menerusi kaedah Cure and Care Recovery Index (CCRI).

Pencapaian itu jelas membuktikan AADK bukan sahaja merawat, malah berjaya memulihkan klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) atau program Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI).

AADK turut mempunyai program jagaan lanjutan menerusi pelbagai kaedah termasuk melalui program hijrah yang menempatkan klien di penempatan lain (bukan tempat tinggal asal dengan persetujuan) sambil diberi pekerjaan sebagai faktor pelindung untuk kekal pulih.

Justeru, AADK menyelar tindakan individu tidak bertanggungjawab dalam satu rakaman video berdurasi satu minit 41 saat menerusi platform Facebook yang membawa naratif tidak sihat berkenaan peranan dan tanggungjawab agensi berkenaan.

"Ini satu tohmahan yang tidak wajar oleh individu berkenaan kerana boleh menjejaskan kredibiliti dan nama baik agensi. AADK tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuduhan dilemparkan itu menjejaskan imej agensi," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan