AM > BERITA

Bancian Pertanian Berjalan Lancar, Capai 20 Peratus

28/07/2024 03:38 PM

SUNGAI BULOH, 28 Julai (Bernama) -- Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjalan lancar dengan 20 peratus bancian selesai dilakukan setakat ini di seluruh negara sejak dimulakan 7 Julai lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sehingga 26 Julai sebanyak 251,371 kes telah dilawati dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti Johor dan Sarawak. 

“Banci ini merupakan langkah strategik untuk mengumpul data yang komprehensif dan terkini mengenai status serta perkembangan sektor pertanian Malaysia.

“Data yang diperoleh akan digunakan untuk merancang dasar, strategi dan intervensi yang lebih efektif dalam meningkatkan daya saing serta keberdayaan sektor pertanian negara,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses bancian di Kampung Kubu Gajah di sini hari ini. 

Bagi memastikan keberkesanan data yang bakal dihasilkan selepas selesai proses bancian, Mohd Uzir meminta kesemua pihak yang terlibat memberikan maklumat yang jujur dan tepat kepada petugas banci.

Beliau berkata faktor kejayaan program itu ialah kebersamaan dalam penghasilan data kerana maklumat yang tepat adalah mustahak dan untuk itu peranan penghulu atau ketua kampung amat penting untuk memastikan anggota masyarakat di bawah mereka memberikan kerjasama yang baik. 

“Setakat ini Alhamdulillah melalui kerjasama dengan agensi-agensi di peringkat negeri dan penggiat pertanian di daerah (mereka) memberikan komitmen 100 peratus dan ini satu petunjuk awal untuk kita tamatkan program ini dengan berjaya,” katanya. 

Bancian Pertanian 2024 yang akan berakhir pada 10 Oktober ini merangkumi empat subsektor utama iaitu tanaman, ternakan, akuakultur dan perhutanan selain merupakan banci kali keempat dilaksanakan di Malaysia selepas kali terakhir dilaksanakan pada 2005.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan