AM > BERITA

Malaysia Seru Pelan Tindakan Arf Dikemas Kini

28/07/2024 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru agar satu Pelan Tindakan (POA) Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu diadakan atau ia dikemas kini, memandangkan  pelan tindakan semasa akan tamat pada 2025 selain mengambil kira landskap keselamatan yang semakin berkembang.

Kementerian Luar Malaysia dalam hantaran Facebooknya berkata Mohamad membuat seruan sedemikian semasa ARF ke-31 pada 27 Julai di Vientiane, Laos.

Seruan itu adalah untuk mencerminkan realiti semasa dan memastikan ARF kekal relevan sebagai forum keselamatan serantau terkemuka di rantau Asia-Pasifik, memandangkan landskap keselamatan yang semakin berkembang, kata kementerian dalam hantaran itu.

“Menteri Luar  menekankan bahawa persaingan kuasa besar menghalang kemajuan dalam ARF dan menegaskan keperluan untuk memanfaatkan sepenuhnya platform ARF bagi menggalakkan dialog dan perundingan yang membina,” kata Kementerian Luar.

Mohamad juga menyeru kuasa-kuasa besar untuk mengambil tanggungjawab dan bertindak sebagai kuasa penstabil bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Beliau menggesa Mesyuarat itu untuk memperbaharui komitmen terhadap perintah antarabangsa yang berasaskan peraturan, katanya dalam hantaran itu.

ARF kini terdiri daripada 27 peserta. Mereka adalah kesemua 10 negara anggota ASEAN, Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat, Bangladesh, Korea Utara, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Papua New Guinea dan Timor-Leste.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan