AM > BERITA

Dewan Negara Lulus Dua RUU Berkaitan Penerbangan

30/07/2024 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 selepas bacaan kali ketiga.

Kedua-dua RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dikemukakan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Semasa membentangkan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024, Hasbi berkata pembubaran itu merupakan komitmen dibuat kerajaan pada 11 Dis 2019, yang bersetuju secara prinsip supaya badan kawal selia industri penerbangan Malaysia digabungkan di bawah satu entiti.

Perkara itu melibatkan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan semua fungsinya dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kerajaan telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap terhadap penggabungan badan kawal selia penerbangan awam negara melibatkan CAAM dan MAVCOM, melalui pemansuhan Akta 771 (Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015) dan pindaan Akta 788 (Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017),” kata Hasbi.

RUU  Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 merangkumi pindaan diperuntukkan dalam 14 fasa, termasuk peruntukan semua wang berada atau kena dibayar kepada Kumpulan Wang Suruhanjaya Penerbangan dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan di bawah Akta 771, dipindahkan kepada Kumpulan Wang Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta 788.

Hasbi berkata fungsi MAVCOM akan diteruskan, dilaksanakan dan diperkasakan apabila suruhanjaya tersebut digabungkan ke dalam CAAM.

Namun begitu, Hasbi berkata CAAM masih mengekalkan fungsi dan peranannya dalam aspek teknikal dan masih mengekalkan kebebasan dan integriti dalam mengawal selia aspek teknikal yang cekap dan bebas dari pengaruh luar seperti operasi sedia ada.

“Dalam masa yang sama, terdapat kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan profesionalisme dalam perkara yang penerbangan awam, ekonomi, kewangan dan perniagaan, pentadbiran atau undang-undang atau perkara lain yang berkaitan dengan pihak berkuasa yang digabungkan di bawah satu entiti,” katanya.

Hasbi berkata penggabungan ini dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan, di samping meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan