AM > BERITA

Penggunaan Air Bukit Rahsia Patin Kolam Lebih Enak

01/08/2024 02:40 PM

JERANTUT, 1 Ogos (Bernama) -- Ikan patin diternak dalam kolam sering menjadi pilihan terakhir bagi penggemar ikan air tawar itu kerana dikatakan berbau hanyir dan kurang enak berbanding patin sungai liar atau sangkar.

Namun, seorang penternak patin di Jerantut, Pahang, Yusairy Yusof menjelaskan bahawa penternakan di dalam kolam juga boleh menghasilkan ikan yang enak dengan penggunaan sumber air bukit yang sentiasa mengalir.

Usahawan yang juga bekas penerbit berita di Bernama TV itu bertekad untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap patin kolam melalui jenamanya sendiri, Angah Livestock yang diusahakannya sejak 2008.

"Penternakan dalam kolam menggunakan sumber air bukit yang mengalir berbeza kualitinya kerana rasanya sangat enak dan tidak hanyir, berbanding ikan kolam yang airnya tidak mengalir.

“Air bukit ini datangnya dari puncak gunung atau bukit bukau yang semula jadi, bersih dan ada sifat mineral tersendiri. Ini dapat membantu tumbesaran ikan patin dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Memanfaatkan sumber air bukit di tanah keluarganya di Kampung Perlok, di sini, Yusairy, 39, membuka tujuh buah kolam yang kini mampu mengeluarkan sebanyak 2.5 tan atau 2,500 ekor ikan patin setiap bulan dengan anggaran 30,000 ribu ekor ikan setahun. 

"Alhamdulillah, semakin hari semakin ramai memberi maklum balas positif mengenai keenakan ikan patin air bukit ini. Ini sangat membantu mengubah persepsi negatif terhadap patin kolam," katanya yang mempunyai pelanggan tetap di sekitar Pahang, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan Selangor, terdiri daripada pengusaha restoran dan peminat ikan patin.

Yusairy berkata setakat ini beliau belum memaksimumkan pengeluaran dan hanya menternak mengikut permintaan semasa pelanggan, namun berharap beliau dan penternak lain di Kampung Perlok diberi laluan untuk meluaskan pasaran mereka.

Bagaimanapun, Yusairy berharap kos makanan pelet ikan dapat dikawal memandangkan harganya kini telah meningkat kepada RM80 bagi setiap bungkus 20 kilogram berbanding sekitar RM60 sebelum ini. 

"Kos penternakan bergantung kepada makanan ikan, ini kerana pembesaran dan kualiti ikan sangat baik jika 100 peratus diberi makan pelet berbanding menggunakan makanan alternatif seperti perut ayam, sisa ikan atau tumbuh-tumbuhan," katanya yang juga berterima kasih kepada Jabatan Perikanan kerana banyak membantu ketika beliau mula menceburi bidang itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan