AM > BERITA

KOLAM PANCING DISERBU, SAMBUNG AIR SECARA HARAM

25/07/2024 03:00 PM

KLANG, 25 Julai (Bernama) -- Sebuah kolam pancing di Jalan Bagan Hailam, Pelabuhan Klang Utara di sini diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas disyaki membuat penyambungan air bersih terawat secara haram.

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Mohd Fazil Ismail berkata serbuan sekitar 10 pagi itu mendapati terdapat satu sambungan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 25 milimeter yang dibuat secara terus tanpa melalui sebarang meter kepada paip utama milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk kegunaan premis itu.

Beliau berkata siasatan mendapati penyambungan bekalan air secara tidak sah itu dipercayai telah dilakukan semenjak setahun lepas dengan jumlah penggunaan sebanyak 37,000 meter kubik.

"Siasatan turut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah dan tindakan itu telah menyebabkan Air Selangor kerugian kira-kira RM110,000.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu juga menyebabkan tekanan air di kawasan terbabit telah menurun sehingga mendapat perhatian dan aduan daripada pengguna," katanya ketika ditemui selepas operasi penguatkuasaan mengejut ke premis berkenaan hari ini. 

Mohd Fazil berkata kes disiasat di bawah Seksyen 123(1) dan Seksyen 123(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali. 

Beliau berkata sementara proses siasatan berlangsung, bekalan air ke premis itu telah dipotong dan mereka yang berkenaan perlu menjelaskan bayaran kerugian yang dialami Air Selangor mengikut jumlah penggunaan sepanjang tempoh penyambungan haram itu sebelum bekalan boleh disambung semula.

Berhubung perkara yang sama, Mohd Fazil berkata SPAN telah mengesan sebanyak 42 kes penyambungan bekalan air terawat secara tidak sah di seluruh negara sejak awal tahun hingga Jun lepas dengan 20 daripada kes itu telah diselesaikan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan