AM > BERITA

Himpunan Pembebasan Palestin: Pemuda Harapan Selar Tindakan Wan Ahmad Fayhsal

04/08/2024 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Angkatan Muda Harapan menyelar tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyeru memboikot Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata, malam ini. 

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan Ammar Atan berkata tindakan itu memperlihatkan  sikap hipokrit Wan Ahmad Fayhsal yang sanggup menyeru memboikot perhimpunan solidariti menyokong Palestin itu hanya kerana perbezaan politik.

“Sebagai manusia yang berprinsip kemanusiaan dan memperjuangkan pembebasan Palestin adalah tidak wajar beliau bersikap tertutup dan bersifat asabiah dalam isu ini. 

“Beliau seolah-olah merasakan hanya perjuangan beliau sahaja yang benar dan tindakan perjuangan pihak lain termasuk kerajaan adalah salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional berkata tidak perlu berhasad dalam hal melakukan kebaikan dan mengajak semua untuk bersama-sama menyertai perhimpunan itu.

“Ayuh bersama-sama dalam solidariti malam ini dan tinggalkan segala sengketa politik demi pembebasan Al-Quds Palestina,” katanya.

Dalam satu video yang tular di media sosial menerusi platform X memaparkan Wan Ahmad Fayhsal menyeru memboikot Himpunan Pembebasan Palestin malam ini sebaliknya meminta orang ramai menyertai himpunan anjuran pertubuhan lain.      

Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung hari ini dijadual bermula pada 6 petang di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan