AM > BERITA

Belanjawan 2025: KPN Rangka Lima Inisiatif Berjumlah RM290 Juta

06/08/2024 12:40 PM

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) merangka lima keutamaan menerusi Inisiatif Bajet berjumlah RM290 juta untuk pertimbangan Kementerian Kewangan (MoF) dalam Belanjawan 2025.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata lima keutamaan itu ialah Program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian, Kesejahteraan Komuniti, Pendigitalan dan Teknologi, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan serta Penambahbaikan Infrastruktur Perpaduan.

“Di bawah inisiatif Program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian, ia akan melibatkan pelaksanaan agenda perpaduan nasional, integrasi serta keharmonian.

“Di bawah inisiatif Kesejahteraan Komuniti, peranan Kawasan Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela, Mediator Komuniti, Tabika dan Taska Perpaduan akan diperkasakan sebagai penggerak utama dan penghubung jalin dalam komuniti,” katanya semasa berucap merasmikan sesi libat urus Belanjawan 2025 selaras dengan tema ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, di sini hari ini.

Aaron berkata di bawah inisiatif Pendigitalan dan Teknologi, ia akan menumpukan ke arah usaha pendigitalan bahan-bahan khazanah warisan negara manakala inisiatif Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan pula bertujuan melestarikan perpaduan melalui pemeliharaan serta pemuliharaan warisan negara.

Di bawah inisiatif Penambahbaikan Infrastruktur Perpaduan pula, beliau berkata premis-premis perpaduan melibatkan perkhidmatan kepada orang awam terutamanya berkaitan skop pembaikan dan penyelenggaraan bangunan agensi-agensi di bawah KPN, akan diberikan tumpuan.

“MoF harus mempertimbangkan permohonan peruntukan oleh KPN kerana Rancangan Malaysia ke-12 menyasarkan Indeks Perpaduan Nasional sebanyak 0.7 peratus menjelang 2025. Pelaksanaan pelbagai program amat penting bagi mewujudkan tapak integrasi yang mampu meningkatkan interaksi antara rakyat pelbagai bangsa dan agama.

“Besarlah harapan saya agar MoF dapat memberikan keutamaan terhadap input Belanjawan 2025 daripada kementerian ini dalam memastikan semangat patriotisme dan kenegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

Mengenai sesi libat urus hari ini, Aaron berkata ia dapat dijadikan platform bagi semua pihak untuk mengemukakan cadangan, pandangan dan idea dalam usaha bagi mengukuh dan memperkasakan agenda perpaduan dalam negara.

“KPN akan mengumpulkan semua cadangan ini dan seterusnya mengemukakan kepada MoF untuk disemak serta diteliti dan seterusnya dipertimbangkan bagi dimasukkan dalam Belanjawan 2025,” katanya.

Beliau berkata input Belanjawan 2025 penting dalam memastikan kerajaan dapat melaksanakan agenda meraikan kepelbagaian, mempromosikan kebersamaan, mewujudkan peluang pertukaran budaya dan warisan serta menyebarluas prinsip asas integrasi nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan