AM > BERITA

JPN Perak Mahu Semua Permohonan Dokumen Pengenalan Diri Diproses Ikut Garis Panduan

06/08/2024 05:03 PM

KAMPAR, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak meminta semua ketua jabatan agensi berkenaan termasuk di daerah supaya tidak menolak sebarang permohonan pendaftaran melibatkan dokumen pengenalan diri rakyat di negeri ini.

Pengarah JPN Perak Asuat Ahmad berkata langkah itu penting bagi memastikan masalah ketiadaan pengenalan diri membabitkan mana-mana individu dapat diatasi sebaik mungkin dengan setiap permohonan perlu dilayan dan diproses mengikut garis panduan ditetapkan.

“Melalui kaedah ini juga kita dapat mengurangkan masalah yang dianggap sering kali berbangkit bukan hanya di Perak, malah seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kelahiran kepada sebuah keluarga di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar di sini hari ini.

Asuat berkata para pemimpin terutama di peringkat akar umbi antaranya penghulu dan ketua kampung juga diminta supaya sentiasa cakna selain melaporkan kepada JPN Perak jika ada dalam kalangan penduduk di kawasan mereka mengalami masalah itu.

Beliau berkata pihaknya juga telah melaksanakan inisiatif melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bertujuan memudahkan urusan masyarakat terutama di kawasan pedalaman membuat pendaftaran sijil kelahiran dan kematian, cabutan sijil perkahwinan, memperbaharui kad pengenalan diri serta khidmat nasihat.

“Kita gunakan kemudahan seperti van untuk ke lokasi-lokasi yang kita rasa bersesuaian dan mampu untuk membantu penduduk. Saya fikir melalui inisiatif ini, kita mampu untuk tangani masalah yang berlaku di bawah bidang tugas kita dengan baik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata antara punca permohonan pendaftaran dokumen mengalami masalah adalah disebabkan faktor kemiskinan, keluarga dan ketiadaan dokumen lengkap bagi mengesahkan sesuatu kelahiran itu berlaku di dalam negara yang menjadi cabaran kepada pihaknya untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan