AM > BERITA

ECRL Buka Peluang Kerja Rakyat Tempatan

06/08/2024 07:05 PM

KUALA NERUS, 6 Ogos (Bernama) -- Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sahaja mewujudkan satu lagi bentuk jaringan pengangkutan di Terengganu malah ia membuka peluang pekerjaan kepada ribuan penduduk tempatan.

Turut menerima limpahan rezeki daripada projek yang melibatkan jajaran sepanjang 665 kilometer dari Kelantan hingga Gombak, Selangor itu termasuk tiga bersaudara, Abu Samah Yusof, 53, serta dua adiknya, Abu Suffian, 51, dan Abu Shafalizail, 42.

Bertugas sebagai Timbalan Pengurus Seksyen 3 China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) iaitu kontraktor utama projek ECRL, Abu Samah berkata sebelum terlibat dengan projek itu beliau terpaksa merantau selama lebih 20 tahun memandangkan tidak banyak projek besar di Terengganu.

Beliau berkata keadaan itu memberi tekanan kepadanya dan isteri, Eliza Sufinah Mat Sepin, 47, yang terpaksa tinggal berjauhan akibat tuntutan kerja.

“Lepas tamat belajar saya terus bekerja di luar dan keadaan itu berterusan hingga berkahwin pada 2003 dan dikurniakan enam cahaya mata. Pada 2015, isteri minta saya balik bekerja di Terengganu kerana tak larat jaga anak sendirian. 

“Kebetulan ketika itu ada projek jambatan angkat di Kuala Terengganu dan saya sempat kerja selama empat tahun. Alhamdulillah, selepas projek itu selesai ada pula ECRL ini sekali gus membolehkan saya terus tinggal di kampung,” katanya ketika ditemui di Pejabat Seksyen 3 CCC-ECRL di Bukit Berangan di sini.

Abu Samah berkata peluang tersebut turut dimanfaatkan oleh dua adiknya itu yang bekerja sebagai penyelia keselamatan tapak dan juruukur.

Beliau berkata di Seksyen 3 CCC-ECRL sahaja terdapat lebih 1,000 pekerja anak tempatan di bahagian tapak pembinaan dan 300 di sektor pengurusan, dan mereka sentiasa diberi keutamaan dalam setiap peluang pekerjaan sesuai dengan kemahiran atau kepakaran.

"Saya boleh katakan bilangan pekerja tempatan di sini lebih ramai berbanding pekerja dari China. Di bahagian pengurusan kita ada 300 anak tempatan dan hanya 80 pekerja dari China.

"Pihak syarikat sentiasa membuka peluang kerja kepada orang tempatan yang berminat. Jika ada kekosongan dan sesuai dengan kemahiran, mereka tidak akan teragak-agak untuk ambil bekerja di ECRL," katanya. 

Sementara itu, Abu Sufian yang sama seperti abangnya terpaksa merantau selama belasan tahun dan berjauhan dengan anak serta isteri, bersyukur kerana Terengganu menjadi sebahagian daripada negeri yang terlibat dalam projek ECRL.

"Sebelum bekerja di ECRL saya juga bertugas bersama abang (Abu Samah) di jambatan angkat. Masa itu memang runsing juga memikirkan mana nak pergi selepas projek jambatan angkat siap.

"Mujur kerajaan laksanakan projek  ECRL di Terengganu, dapatlah saya terus tinggal bersama keluarga dan menjaga emak yang sudah tua," katanya.

Bagaimanapun, apabila ECRL siap pada 2026 nanti beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerja di luar kerana perjalanan antara Terengganu ke Kuala Lumpur hanya akan mengambil masa kira-kira empat jam sekali gus memudahkan untuk pulang ke kampung. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan