AM > BERITA

Utamakan pembinaan kepercayaan digital sebagai asas tangani ancaman siber - Gobind

07/08/2024 12:40 AM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Malaysia harus mengutamakan langkah membina kepercayaan digital sebagai asas bagi ekonomi digital yang selamat, makmur dan bersepadu dalam menangani ancaman siber yang semakin berkembang.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dengan meningkatkan kepercayaan digital, Malaysia akan mampu bersaing dengan lebih berkesan dalam pasaran global dan menyediakan peluang yang lebih banyak untuk perniagaan serta rakyat.

“Membina kepercayaan digital adalah selaras dengan draf sifar mengenai Global Digital Compact oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini bagi mewujudkan masa depan digital yang inklusif, terbuka, selamat dan terjamin untuk semua. Landskap digital boleh dipercayai memerlukan teknologi yang mampu melindungi, memaklumkan serta menggerakkan perusahaan, komuniti dan individu.

“Kepercayaan digital meningkatkan keselamatan dan daya tahan melalui usaha kolaboratif serta perkongsian risikan ancaman. Dengan memerangi maklumat salah, melindungi privasi dan mempromosi perpaduan sosial, kepercayaan digital menyumbang kepada masyarakat yang lebih selamat serta harmoni,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Keselamatan Siber Malaysia dan Makan Malam Gala 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar.

Menyentuh mengenai majlis itu, Gobind berkata acara berprestij tersebut menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh profesional keselamatan siber dalam melindungi aset digital Malaysia.

“Terima kasih kerana menjadi peneraju dalam memajukan ekosistem keselamatan siber. Kepakaran anda dalam mengenal pasti kelemahan, mengurangkan risiko dan bertindak balas terhadap insiden keselamatan amat berharga dalam mengekalkan keselamatan serta kerahsiaan maklumat sensitif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab menggesa pihak berkepentingan dalam ekosistem digital Malaysia agar mempergiat kerjasama bagi mengekalkan infrastruktur keselamatan siber yang teguh dan menegakkan kepercayaan digital.

“Dengan menjalin kerjasama, kita boleh mewujudkan ekosistem siber yang berdaya tahan bukan sahaja untuk melindungi daripada serangan siber semasa tetapi juga menjangkakan serta mengurangkan risiko siber pada masa akan datang. Kerjasama seperti ini penting bagi memastikan keselamatan dan kestabilan masyarakat kita yang semakin digital,” katanya.

Selain itu, beliau berkata CyberSecurity Malaysia sedang menilai landskap kepercayaan digital semasa di negara ini bagi mengenal pasti inisiatif, cabaran, kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman berkaitan kepercayaan digital.

“CyberSecurity Malaysia sedang mengkaji semula model kepercayaan digital bagi mengenal pasti elemen utama, amalan terbaik dan potensi jurang dalam landskap kepercayaan digital Malaysia.

"Berdasarkan kesemua inisiatif ini, kita akan membangunkan Kerangka Kepercayaan Digital Nasional untuk memacu strategi dan keutamaan kepercayaan digital Malaysia,” katanya.

Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2024 adalah antara program kemuncak di Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia atau CyberDSA 2024, yang berlangsung dari 6 hingga 8 Ogos August 2024 dan menampilkan teknologi keselamatan siber serta pertahanan terkini selain memudah cara pertukaran pandangan mengenai risikan siber.

Edisi ke-15 anugerah itu menerima 52 pencalonan dalam 10 kategori dan antara penerimanya ialah Ketua Keselamatan Siber PLUS Malaysia Berhad Johari Jalaludin bagi Profesional Keselamatan Siber Terbaik, TM Technology Services Sdn Bhd (Syarikat Sekuriti Siber Terbaik) dan Datuk Ahmad Noordin Ismail (Profesional Cybersafe Terbaik).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan