AM > BERITA

Padanan Perniagaan Untuk Usahawan PMks Di Program MADANI Rakyat Zon Selatan

13/08/2024 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp Malaysia akan mengadakan sesi padanan perniagaan pada Program MADANI Rakyat Zon Selatan yang akan berlangsung di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru pada 15 hingga 17 Ogos ini. 

Timbalan Menteri berkenaan Datuk R Ramanan berkata program itu akan membolehkan usahawan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka dengan menemui wakil syarikat pasar raya, pemborong dan platform e-dagang.

Usahawan yang berminat untuk hadir bolehlah membawa bersama sampel produk mereka, katanya.

“KUSKOP turut membuka reruai untuk memberikan perkhidmatan dan bimbingan kepada pengunjung. Oleh itu, saya ingin menyeru semua lapisan masyarakat di zon selatan untuk datang beramai-ramai ke Program MADANI Rakyat 2024 ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama. 

Antara aktiviti lain yang disediakan untuk pengunjung di reruai KUSKOP ialah konsultasi keusahawanan dan koperasi, advokasi latihan, geran dan pembiayaan agensi KUSKOP, pendaftaran status PMKS oleh SME Corp dan pendaftaran Usahawan MyMall.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.

 Program itu merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023 dan diteruskan di peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami dan menilai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan