SUKAN > BERITA

Liga Super: Rembatan Harith Haiqal julang Selangor FC di Likas

13/08/2024 11:58 PM

KOTA KINABALU, 13 Ogos (Bernama) -- Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di sini malam ini.

Kedua-dua pasukan bermula agak perlahan dengan tiada serangan berbahaya yang dihadapi penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che Mat mahupun penjaga gol pasukan pelawat Samuel Somerville.

Bagaimanapun, pada minit ke-27, pasukan tuan rumah berjaya merobek gawang Selangor hasil gol sendiri pemain pertahanan Gergasi Merah Safuwan Baharudin yang tertampan lorongan daripada Jefri Chew di dalam kawasan kotak penalti.

Selangor di bawah kendalian Mohd Nidzam Jamil berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan penyerang import Roni Fernandez pada minit ke-31 ekoran kesilapan barisan pemain pertahanan Sabah.

Bermula babak kedua, tempo permainan semakin rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Selangor berjaya mendapatkan gol kemenangan hasil rembatan Harith Haiqal di dalam kotak penalti pada minit ke-86 bagi membolehkan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata berharga.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan