AM > BERITA

Sebanyak 2,125 Peluang Pekerjaan Ditawarkan Di PMR Johor

15/08/2024 06:31 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos -- Penganjuran Karnival Kerjaya MyFuture Jobs sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan yang berlangsung di Dataran UTM di Skudai selama tiga hari bermula hari ini menyediakan 2,125 peluang pekerjaan.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) Azirruan Ariffin berkata peluang pekerjaan itu ditawarkan oleh 21 majikan antaranya Farm Fresh, KPJ Puteri Specialist Hospital, URC Snackfoods  Malaysia Sdn Bhd (Munchy’s), Beyonic Presicion Malaysia Sdn Bhd dan Halliburton Manufacturing Technology (M) Sdn Bhd.

“Antara sektor terlibat terdiri pembuatan dan perkilangan, minyak dan gas, perhotelan, pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi. Menerusi karnival kerjaya ini individu boleh menghadiri temu duga secara terus,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 985 daripada kekosongan itu menawarkan gaji lebih RM2,000, manakala selebihnya gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 dengan 60 peratus kekosongan berkenaan memerlukan individu berkelulusan diploma atau ijazah dan 40 peratus lagi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menyediakan kaunseling kerjaya untuk pencari kerja bagi membimbing mereka memohon pekerjaan bersesuaian dengan minat dan kelayakan masing-masing selain kaunter pendaftaran portal MyFuture Jobs.  

Mereka yang berminat boleh hadir dengan berpakaian kemas serta membawa bersama dokumen pengenalan diri serta sijil akademik dan kokurikulum.

Sementara itu, seorang pencari kerja Mohd Hazri Sabtu, 45, dari Pasir Gudang berkata beliau datang sejak dari 11 pagi dan sempat menjalani temu duga dengan dua syarikat swasta bagi memohon jawatan sebagai juruteknik dan pelatih pengurusan.  

Dia sebelum ini bekerja dalam bidang minyak dan gas, namun diberhentikan kerja atas sebab tertentu. 

“Saya dimaklumkan keputusan temu duga akan diberitahu kemudian. Apa pun saya bersyukur kerana Perkeso buat pelbagai inisiatif untuk membantu golongan pencari kerja seperti Program Penempatan Semula Pekerjaan,” katanya. 

Syed Sadid Syed Hashim, 28, dari Johor Bahru pula berkata dia mengetahui tentang karnival kerjaya ini melalui media sosial dan memutuskan untuk datang bagi mencari peluang pekerjaan dalam bidang teknologi tinggi dan pemasaran digital.

Jurulatih renang separuh masa dan berkelulusan Ijazah Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu berkata karnival kerjaya seperti ini menjadi peluang terbaik untuk dirinya menghadiri temu duga dengan cepat selain mendapatkan bimbingan serta nasihat berkaitan daripada pegawai Perkeso. 

Program MADANI Rakyat Zon Selatan anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui  Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor, menumpukan kepada pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri sejak setahun dilancarkan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan