AM > BERITA

Pusat Rehabilitasi Perkeso Di Ipoh Mampu Perkasa Program RTW

16/08/2024 10:44 AM

IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjangka 3,000 pesakit bakal menerima manfaat melalui rawatan secara holistik di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan di Meru Raya di sini, setiap tahun.

Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso Datuk Dr Hafez Hussain berkata melalui kemudahan itu ia akan memacu keberkesanan program Return To Work (RTW) Perkeso yang telah berjaya membantu lebih daripada 63,241 individu kembali bekerja dari tahun 2017 sehingga kini.

Beliau berkata pusat rehabilitasi itu menawarkan perkhidmatan kepada pencarum yang layak di bawah beberapa skim Perkeso termasuk Skim Faedah Bencana Pekerjaan, Skim Pencen Ilat, Skim Bencana Pekerjaan, Skim Sistem Insurans Pekerjaan, Skim Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan bagi suri rumah.

“Rawatan yang diberikan tertumpu kepada pelbagai perkara termasuk kepada mereka yang mengalami kecederaan berkaitan muskuloskeletal dan neurologi seperti strok dan kecederaan otak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Sedekad Pusat Rehabilitasi Perkeso di sebuah hotel di sini yang turut disertai lebih 100 peserta terdiri dalam kalangan agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil majikan seluruh Perak.

 Pada 7 Ogos lepas, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong memaklumkan pusat rehabilitasi yang menelan kos sebanyak RM654 juta di atas tanah seluas 15.57 hektar itu sudah mencapai pembangunan 63.05 peratus selain dijangka siap sepenuhnya menjelang 1 Mei tahun depan.

Selain pusat rehabilitasi tersebut, terdapat enam lagi kemudahan sama yang telah beroperasi di Melaka, Kuala Lumpur, Shah Alam, Terengganu, dan Johor.

Sementara itu Hafez berkata meskipun keutamaan diberikan kepada para pencarum Perkeso namun kemudahan di pusat rehabilitasi berkenaan juga boleh digunakan oleh orang awam melalui pembiayaan sendiri.

“Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej perkhidmatan rehabilitasi yang ditawarkan boleh menghubungi Pusat Rehabilitasi Perkeso di talian 06-2354000 atau melayari laman web di www.rehabmalaysia.com,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan pusat rehabilitasi berkenaan, beliau berkata kemudahan yang diiktiraf terbesar di Asia Tenggara itu akan menumpukan kepada perkhidmatan neuro-robotik dan Cybernics, rawatan rehabilitasi konvensional serta perubatan tradisional.

“Bagi mereka yang tidak berupaya untuk kembali bekerja, rawatan rehabilitasi ini membolehkan mereka memulihkan keupayaan untuk menguruskan diri dalam aktiviti harian, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada keluarga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan