AM > BERITA

Pasangan Warga Emas Mangsa Kebakaran Di Pagoh Selamat Dikebumikan

16/08/2024 03:28 PM

MUAR, 16 Ogos (Bernama) -- Jenazah pasangan warga emas yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini Jumaat lepas, selamat dikebumikan pada kira-kira 11 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan ketika pengebumian jenazah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abd Hamid, 76, yang dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, saudara mara serta penduduk kampung.

Kedua-dua jenazah tersebut dikebumikan bersebelahan pusara cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11, yang turut terkorban dalam kejadian kebakaran itu.

Terdahulu, jenazah  Mohamed Nor dan Ara dituntut ahli keluarga dari Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah (HPSF) Muar pada 9 pagi selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh semalam, sebelum dibawa dengan van ke Masjid Jamek kampung berkenaan untuk disolatkan pada kira-kira 10 pagi. 

Sementara itu, anak Allahyarham pasangan warga emas itu, Mahat Mohamed Nor, 45, berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan melibatkan ibu bapanya hingga selamat dikebumikan setelah seminggu menunggu keputusan ujian DNA. 

“Jika diikutkan keputusan DNA lambat lagi…tetapi Alhamdulillah ia dipercepatkan dan kami sekeluarga berasa lega,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian.

Kebakaran tersebut turut mengakibatkan seorang lagi cucu mangsa, Norazmina Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di HPSF.

Suspek utama kes tersebut yang merupakan anak sulung pasangan itu berusia 48 tahun kini ditahan polis kerana disyaki mengakibatkan kebakaran kediaman itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan