SUKAN > BERITA

Impian Randy Sumbang Emas Taekwondo Sarawak Tercapai

16/08/2024 10:52 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Impian atlet pelapis taekwondo kebangsaan, Randy Owen Augustine Linggi untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen Sarawak di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 tercapai menerusi acara poomsae individu dan berpasukan lelaki hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata penyertaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa ternyata membantu beliau untuk mempamerkan gerakan kemas yang berjaya memikat hati juri pada saingan di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini.

Pada acara individu Randy yang menceburi taekwondo pada usia 14 tahun mengutip 7.80 mata menewaskan Yeap Zhi Bin dari Perlis yang meraih 7.71 mata untuk perak manakala wakil Johor, Woo Jun Yi dan Cheong Qi Yap dari Perak berkongsi pingat gangsa selepas masing-masing mencatat 7.71 dan 7.52 mata.

Setakat ini kem taekwondo Sarawak mengumpul tiga pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

“Selain latihan intensif di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur, saya juga menyertai Terbuka Kanada dengan pencapaian pingat emas acara berpasukan lelaki dan pingat gangsa Kejohanan Taekwondo ASEAN di Vietnam dalam acara yang sama tahun ini.

“Menerusi penyertaan itu, saya dapat meningkatkan prestasi seperti perkemas tempo poomsae, tendangan serta mengawal gementar di gelanggang,” katanya kepada Bernama.

Randy berharap dapat menyertai kejohanan besar selepas ini bagi melakar lebih banyak kejayaan untuk mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.

Bagi acara berpasukan, gandingan Randy, Fedealis Kom Twin dan Mohd Isshahril Mazlan menewaskan pencabar mereka dari Wilayah Persekutuan dan Perak dengan mengumpul 8.01 mata.

Pasukan wanita tuan rumah turut menyumbang emas menerusi trio Farah Nabilla Maddarus, Siti Yusriyyah Zailani dan Willemien Lai Lin.

Farah Nabilla, 20, berkata pengorbanan menjalani latihan enam bulan di Vietnam ternyata membuahkan hasil buat mereka untuk menyumbangkan pingat emas kepada negeri tercinta.

“Dalam setahun ini, kami hanya fokus untuk SUKMA termasuk berlatih di Vietnam, rutin di sana sangat padat dan latihan dijalankan juga menguji fizikal dan mental. Kemenangan ini adalah untuk jurulatih yang tidak putus asa mengajar kami hingga tahap ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan