AM > BERITA

Pelarasan Gaji: Penjawat Awam Perlu Berkhidmat Dengan Dedikasi, Berintegriti - Aktivis Sosial

16/08/2024 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Penjawat awam diingatkan supaya berkhidmat dengan dedikasi dan berintegriti selaras pelaksanaan pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata penjawat awam perlu mengutamakan kebajikan awam dengan menangani masalah, menjawab aduan dengan segera serta menguatkuasakan undang-undang secara berkesan.

“Penjawat awam memainkan peranan penting dalam menegakkan tadbir urus, menjaga ketenteraman dan memastikan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

Lee berkata sebelum ini, banyak aduan dibuat orang ramai yang berdepan antaranya isu birokrasi, tindakan tidak adil, salah guna kuasa dan salah laku.

Beliau berkata isu birokrasi dan ketidakcekapan serta budaya penyelenggaraan yang lemah masih berlaku walaupun selepas tindakan tatatertib diambil terhadap 8,556 penjawat awam yang berprestasi rendah pada 2022.

Justeru, Lee berkata bagi menggembirakan orang ramai dan mewajarkan kenaikan gaji mereka, penjawat awam mesti mempamerkan etika kerja, profesionalisme dan berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Sekiranya penjawat awam melibatkan diri secara aktif terhadap kebimbangan awam, bersikap responsif, dan menunjukkan akauntabiliti, mereka boleh memupuk hubungan positif dengan masyarakat sekali gus meningkatkan kepuasan orang ramai terhadap perkhidmatan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan