EKONOMI > BERITA

KDNK Kukuh Suku Kedua Malaysia Pacu Keyakinan Ketika Ketidaktentuan Global

16/08/2024 07:45 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Malaysia berkedudukan baik untuk mengharungi ketidaktentuan luaran, didorong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang teguh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi unjuran awal 5.8 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keadaan ini berikutan pelaksanaan pembaharuan fiskal, yang telah meningkatkan ruang dasar dan memperkukuh keyakinan pelabur, seperti yang diperlihatkan menerusi pengukuhan ringgit dan indeks pasaran saham yang meningkat.

Beliau menekankan bahawa ekonomi secara konsisten melepasi unjuran pada suku kedua 2024.

Permintaan dalam dan luar negeri adalah teguh, dengan permintaan dalam negeri meningkat sebanyak 6.9 peratus (berbanding 6.1 peratus pada suku pertama), dipacu oleh pertumbuhan penggunaan swasta dan pelaburan yang kukuh, masing-masing sebanyak 6.0 peratus (suku pertama: 4.7 peratus) dan 12.0 peratus (suku pertama: 9.2 peratus).

Eksport bersih turut meningkat, dengan mencatat pertumbuhan 3.4 peratus selepas menyusut 24.5 peratus pada suku sebelumnya.

"Justeru, terdapat kemungkinan bahawa pertumbuhan KDNK untuk setahun penuh boleh mencecah pertumbuhan tinggi di ambang unjuran rasmi empat peratus hingga lima peratus pada 2024. Ia boleh lebih sedikit daripada 5.0 peratus, didorong oleh pasaran buruh yang stabil dan langkah dasar," katanya kepada Bernama.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi unjuran awal 5.8 peratus, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang baik, aktiviti pelaburan yang aktif dan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong.

Gabenor bank pusat Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata BNM berpandangan pertumbuhan Malaysia berada di landasan untuk mengakhiri tahun ini menghampiri julat unjuran tertinggi 4.0 hingga 5.0 peratus.

Ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024, menjadikan pertumbuhan separuh pertama kepada purata 5.05 peratus manakala KDNK meningkat 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

“Pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi KDNK suku kedua 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Afzanizam yakin BNM akan terus berhati-hati terhadap dasar monetarinya, terutama dalam menguruskan inflasi.

Beliau berkata bank pusat telah mengekalkan unjuran inflasi bagi 2024 iaitu pada 2.0 hingga 3.5 peratus, mencerminkan sedikit ketidaktentuan mengenai prospek inflasi negara.

Antara faktor yang boleh mendorong inflasi menjadi lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini ialah peningkatan permintaan yang mungkin membawa kepada inflasi tarikan permintaan yang lebih ketara.

“Daripada perspektif kami, tumpuan dasar monetari adalah untuk memastikan pendirian semasa sejajar dengan risiko inflasi, di samping memantau rapat faktor luaran seperti pertumbuhan global yang perlahan di ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan China, serta kesan geopolitik terhadap rantaian bekalan dan harga komoditi.

“Kami menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah untuk sepanjang baki tempoh tahun ini,” katanya.

Mengenai sama ada unjuran oleh BNM terlalu optimistik, Mohd Afzanizam percaya unjuran itu telah melalui penilaian yang munasabah, memandangkan ketidaktentuan yang berpunca daripada keadaan ekonomi global dan perubahan dasar domestik boleh mendorong harga menjadi lebih tinggi.

Beliau berkata BNM mengekalkan unjuran bagi inflasi 2024, dan julat yang besar mencerminkan ketidakpastian bank pusat berkenaan prospek inflasi.

“Secara keseluruhannya, pengguna dan perniagaan mempunyai sentimen berhati-hati, ini boleh difahami memandangkan keadaan pasaran semasa yang tidak menentu. Bagaimanapun, aktiviti ekonomi kekal aktif,” katanya.

Beliau berkata faktor seperti peningkatan ketibaan pelancong, kehadiran pengunjung lebih ramai di ruang runcit, peningkatan transaksi hartanah dan akses lebih luas kepada kredit (seperti ditunjukkan menerusi peningkatan pinjaman) telah memacu penggunaan dan pelaburan domestik.

Ia turut didorong oleh projek infrastruktur yang terus dijalankan dan kestabilan pasaran tenaga kerja, katanya.

Selain itu, pemulihan eksport bersih, berikutan beberapa suku yang mencatatkan penguncupan, juga telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

“Selain itu, terdapat kebimbangan yang jelas mengenai risiko global dan tekanan inflasi namun, di sisi lain, landskap ekonomi semasa -- dengan penggunaan kukuh, pelaburan daripada sektor awam dan swasta, dan dasar yang bersifat menyokong -- seharusnya membantu mengekalkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada separuh kedua 2024 dan seterusnya.

“Secara keseluruhannya, saya percaya kenyataan BNM adalah saksama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan