AM > BERITA

Inisiatif KFL Wajar Dicontohi PBT Untuk Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan - KSN

17/08/2024 12:55 PM

KULAI, 17 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) boleh dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan menarik pelaburan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata inisiatif KFL mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan oleh MPKu, sekali gus menarik lebih ramai pelabur ke Johor, khususnya di kawasan majlis perbandaran tersebut.

"Saya akan sentiasa mempromosikan kejayaan Kulai Fast Lane ini kepada PBT lain supaya kita dapat meningkatkan perkhidmatan kepada pelabur. Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, kita perlu melakukan reformasi dan pembaharuan dalam sistem penyampaian kepada rakyat dan pelabur. Jika proses kita mengambil masa yang lama, kita akan ketinggalan," katanya 

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja pertamanya ke MPKu sejak dilantik sebagai KSN pada 12 Ogos lalu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

KFL merupakan sistem penyampaian perkhidmatan yang pantas dan berkesan untuk memproses permohonan pemajuan fizikal, merangkumi proses sebelum pelan diluluskan, kelulusan pelan, Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta pengeluaran lesen operasi.

Antara pencapaian signifikan KFL, termasuk pengurangan masa pembinaan bangunan industri kepada 14 bulan daripada 36 bulan dan peningkatan pelaburan 171 peratus yang kini berjumlah RM45 bilion serta mencipta 7,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi setempat.

Shamsul Azri berkata penyampaian perkhidmatan yang pantas juga merupakan kunci bagi negara untuk bersaing dengan jiran seperti Singapura dan Thailand dalam menarik pelabur serta memperbaiki kedudukan dalam Ranking Daya Saing Global (WCR).

“Kedua-dua negara ini menjadi tumpuan pelabur kerana sistem mereka yang pantas dalam memproses permohonan. Ini adalah sesuatu yang perlu kita perbaiki,” katanya.

Menurut Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) pada Jun lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara, jatuh tujuh anak tangga berbanding kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Buat pertama kalinya, Malaysia berada di bawah Thailand (kedudukan ke-25) dan Indonesia (kedudukan ke-27) dalam kalangan negara ASEAN, manakala Singapura muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia, mengatasi Switzerland di tempat kedua, diikuti Denmark di tempat ketiga.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan