Tujuh Komuniti Jadi Rakan Kolaborasi Polis Cegah Jenayah

17/08/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Sebanyak tujuh komuniti di sekitar Cheras di sini dijadikan lokasi rintis bagi program Rakan Kolaborasi Taman Angkat dalam usaha mencegah jenayah dan membantu menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh berkata program rintis itu membabitkan Perumahan Awam Seri Sabah 3B, Perumahan Awam Seri Pulau Pinang, Taman Midah, Taman Miharja Fasa1, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, PPR Raya Permai dan PPR Pinggiran, yang bermula Januari lepas.

“Kita melihat program ini daripada segi keselamatan dan ketenteraman penduduk. Pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya melantik ahli jawatankuasa kecil dalam kalangan ahli (komuniti), memberi pendedahan mengenai jenayah yang berlaku di kawasan setempat dan cara memberi maklumat dengan selamat dan sulit serta menjadi mata dan telinga kepada polis.

“Penduduk adalah suara komuniti setempat yang sering berkolaborasi dengan polis dan kita amat memerlukan maklumat daripada masyarakat untuk mengekang jenayah,” katanya pada sidang media pada Majlis Perasmian Rakan Kolaborasi Taman Angkat di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCFP) Kuala Lumpur Datuk Azman Abidin.

Ravindar berkata selepas hampir lapan bulan program tersebut dilaksanakan, pihaknya mendapati laporan jenayah di kawasan perumahan berkenaan tidak membimbangkan sebaliknya aktiviti jenayah sering berlaku di kawasan terbuka.

Beliau berkata hal itu susulan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah di kawasan perumahan mereka.

Sementara itu, Azman berkata program berkenaan dapat mengeratkan lagi hubungan antara polis dan masyarakat bagi meningkatkan keselamatan serta kententeraman awam.

“Kita sebagai komuniti perlu menyokong usaha seperti ini kerana PDRM (Polis Diraja Malaysia) perlukan maklumat dan kerjasama daripada masyarakat untuk mengekang jenayah daripada berlaku.

“Saya percaya program ini mendapat sambutan dan akan diperluaskan ke kawasan lain,” katanya sambil menambah MCPF juga akan sentiasa memberikan kerjasama dalam menyokong program tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan