AM > BERITA

Tagal Kampung Sosogoh Program Rintis PINTAR Bagi Keterjaminan Makanan

17/08/2024 08:55 PM

NABAWAN, 17 Ogos (Bernama) -- Tagal Komuniti Kampung Sosogoh dijadikan Pogram Rintis Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) dengan menerima peruntukan RM30,000 daripada Kementerian Pertanian dan Kerjaminan Makanan.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata melalui PINTAR, Tagal Komuniti Kampung Sosogoh diberikan bantuan serta khidmat nasihat bagi memastikan Tagal itu berupaya memainkan peranan mengukuhkan keterjaminan makanan selain memulihara alam sekitar.

“Peruntukkan diterima digunakan bagi pembelian lima unit penjana kuasa solar, 20 beg makanan ikan, 100 unit kerusi plastik, dan empat unit tong sampah serta bahan binaan tandas awam,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan PINTAR Tagal Komuniti Kampung Sosogoh, Pagalungan di sini hari ini.

Beliau berkata melalui konsep PINTAR pelaksanaan dan pembudayaan inovasi dalam semua aspek rantaian nilai sektor agromakanan akan diberikan penekanan yang komprehensif bagi memperkukuh sistem makanan domestik ke arah penghasilan bahan makanan yang produktif dan mampan.

“Sistem Tagal yang merupakan program konservasi sumber perikanan melalui penglibatan komuniti ini bukan sahaja bagi memelihara dan menjaga ekosistem sungai malah ia menjadi sumber makanan untuk penduduk setempat seterusnya dilihat bakal menjadi tarikan ekopelancongan.

“Peluang pekerjaan juga dapat diwujudkan kepada masyarakat setempat untuk menjalankan perniagaan di gerai-gerai di kawasan Tagal,” katanya yang menjelaskan Tagal merupakan sistem konservasi ikan sungai tradisi yang wujud sekian lama di Sabah.

Arthur berkata Tagal Kampung Sosogoh mempunyai potensi tinggi menjadi daya tarikan kepada pelancong kerana ia merupakan satu-satunya tagal yang berjaya menjinakkan ikan mereka di Pensiangan.

Selain itu, katanya kedudukan kawasannya yang strategik bersebelahan dengan pembinaan jalan raya yang bakal siap, persekitaran kaya dengan flora dan fauna serta sesuai bagi aktivit perkhemahandijangka dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi tagal ini,” katanya.

Pada majlis yang sama, turut diadakan pelepasan benih ikan lampam sungai sebanyak 2,850 ekor bernilai RM10,000 sumbangan Jabatan Perikanan Malaysia bertujuan memulihara spesies ikan untuk konservasi, meningkatkan populasi dan  memulihara kepelbagaian biodiversiti.

Jabatan Perikanan Sabah juga menyampaikan sumbangan kepada 12 kawasan Tagal di sini berupa penjana kuasa solar, tong ais, pukat, rambat, tikar kanvas dan papan tanda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan