Maritim Kelantan Tahan Enam Nelayan Asing

18/08/2024 04:57 PM

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) bersama enam nelayan warga Thailand di muara Tok Bali, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan dilakukan pasukan bot peronda agensi berkenaan pada kedudukan kira-kira 40 batu nautika.

Beliau berkata tiga daripada enam nelayan itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah.

“Tangkapan ini dijalankan semasa kami melaksanakan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris pada kedudukan 40 batu nautika dekat sempadan perairan Malaysia-Vietnam.

“Vesel dikesan ketika menangkap ikan di posisi berkenaan kira-kira 4.30 petang sebelum ditahan dan diperiksa 10 minit kemudian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Erwan Shah berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam kru termasuk tekong kesemuanya disyaki warga negara Thailand berumur antara 33 hingga 55 tahun bekerja di bot itu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada kru bot berkenaan didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah ketika diminta.

"Selepas ditahan, bot itu kemudiannya diiringi ke jeti Maritim Negeri Kelantan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah, tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan