AM > BERITA

Ibu Pejabat WeChat, iFLYTEK Destinasi Lawatan Petugas Media Sabah Ke China

19/08/2024 09:22 AM

KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 11 petugas media dari Sabah berlepas ke China lewat malam tadi atas jemputan Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu untuk melawat Guangzhou dan Guilin.

Kunjungan enam hari hingga Jumaat itu turut meliputi lawatan ke beberapa lokasi antaranya ibu pejabat WeChat di Guangzhou yang merupakan antara platform mesej dan media sosial popular di China, Malaysia dan negara lain. 

Selain itu, rombongan media juga akan dibawa melawat syarikat iFLYTEK, sebuah syarikat dikenali dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), Canton Tower dan Guangdong Provincial Museum, Elephant Trunk Hill, Guilin Museum dan boat cruise di Liver River.

Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui berkata kunjungan itu membolehkan media Sabah meneroka kelebihan dan potensi kedua-dua kota ini sebagai magnet ekonomi baharu China moden.

“Ia juga peluang untuk menyelami proses modenisasi China dalam tempoh 10 tahun terakhir, dan perancangan masa depan negara itu dalam konteks hubungan dua hala dengan Malaysia, khususnya Sabah,” katanya kepada Bernama.

-- LAGI

 

MEDIA-CHINA 2 (AKHIR) KOTA KINABALU

 

Lichong berkata China adalah antara rakan perdagangan utama Sabah dalam tempoh beberapa tahun ini, malah Sabah dan China juga mempunyai hubungan sejarah panjang antara komuniti dan kini diperkasa dalam konteks hubungan antara kerajaan yang berkembang pesat.

Beliau berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor terus komited memperkukuh kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor untuk membawa lebih ramai pelabur dari negara itu datang ke Sabah.

“Harapan saya kunjungan ini akan membolehkan media Sabah memainkan peranan secara proaktif dalam membantu memperkasakan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Sabah dan China.

“Kunjungan ke ibu pejabat iFlytek dan WeChat membawa makna amat signifikan dalam era dunia digital kini. Media Sabah boleh mendalami ilmu teknologi ini dalam membangunkan kewartawanan pintar di alam maya,” katanya.

Beliau juga berharap agar kunjungan media Sabah ke dua bandar raya utama China itu turut merintis jalan bagi membangunkan lagi industri pelancongan di negeri ini, seiring usaha menggalakkan kedatangan pelancong ke Sabah.

“Sektor pelancongan kini berkembang pesat di Sabah dan pelancong China antara penyumbang utama berikutan banyaknya penerbangan terus antara kedua-dua destinasi. Inilah juga antara penekanan kerajaan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Petugas media lain terdiri daripada Noorazlina Jindeh daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Muhamat Baba (RTM), Suraidah Roslan (Utusan Malaysia), Julia Chan Yee Ling (Malay Mail), Lee Shaw Yun (Sin Chew Daily News), Tiong Jia Jow (Asia Times), Teo Jin Jinn (See Hua Daily News), Chiew Nai Wen (Borneo Post), Wong Loong Hau (Merdeka Daily News), dan Siong Yin Hua (Overseas Chinese Daily News).

-- BERNAMA

 

TAG: Sabah, China, media, lawatan

 


NBHJ FBR HAZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan