AM > BERITA

Direktori CBO Diperluas, Tangani Kes Komuniti Setempat - Nancy

19/08/2024 06:27 PM

PAPAR, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperluas direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) ke seluruh daerah dan negeri dalam usaha membantu menangani kes melibatkan komuniti setempat seperti penderaan, pengabaian dan keganasan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata direktori CBO diperkenalkan pada Februari lepas telah dilancarkan di enam negeri setakat ini iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah, manakala di Kuala Lumpur dan Sarawak bakal dilancarkan bulan depan.

Beliau berkata kementerian menyasarkan memperluas direktori CBO ke 105 daerah sehingga akhir tahun ini sebagai satu panduan dan rujukan untuk memudahkan capaian maklumat selain mempercepat lagi tindakan  CBO dalam membantu serta memberi sokongan kepada komuniti memerlukan.

"Ini program baharu melibatkan komuniti setempat. Direktori ini (merangkumi) nama dan nombor telefon yang boleh dihubungi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terutama melibatkan kumpulan sasar iaitu kanak-kanak, wanita dan warga emas untuk mempercepat perkhidmatan diperlukan mereka yang terkesan.

"(Sejak dilancarkan) kita dapat melihat semakin cepat proses (penyaluran bantuan dan perkhidmatan) terutama apabila kementerian kami dihubungi, semua main peranan untuk mempercepat proses," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Direktori CBO KPWKM di Dewan Masyarakat Papar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.

Nancy berkata CBO terdiri pelbagai jawatankuasa dan sukarelawan kebajikan termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) berperanan sebagai rakan strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyantuni seterusnya melindungi kumpulan sasar di bawah kementerian itu.

Beliau juga mahu pemimpin akar umbi dan ketua masyarakat memainkan peranan memperkuat interaksi sesama komuniti termasuk dalam aspek menyalurkan maklumat berhubung direktori CBO supaya golongan berkenaan maklum mengenainya.

Sementara itu, Armizan berkata kewujudan direktori CBO itu bukan hanya mampu memperkemas serta memperkukuh fungsi KPWKM dan JKM tetapi juga dapat membantu agensi lain seperti pejabat khidmat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di seluruh daerah.

Beliau berkata usaha ini akan dapat memastikan gerak kerja membantu masyarakat di peringkat akar umbi lebih tersusun termasuk dalam aspek pembangunan dan penyaluran bantuan kepada golongan sasar memandangkan data menerusi CBO boleh dikongsi serta diguna pakai oleh agensi lain.

"Saya amat mengalu-alukan pendekatan mewujudkan CBO ini dan saya yakin ia akan dapat membantu agenda sosial kerajaan diterajui KPWKM.

"Dengan adanya CBO, kita boleh memastikan perkongsian data wujud dan boleh diguna pakai bersama dalam kita memastikan tidak ada masyarakat atau kumpulan sasar terpinggir daripada menerima bantuan serta sokongan daripada kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan