AM > BERITA

Melaka Dijangka Terima 200,000 Pelancong Antarabangsa Menerusi Pelayaran Genting Dream Cruise

20/08/2024 02:56 PM

MELAKA, 20 Ogos (Bernama) -- Melaka dijangka menerima kira-kira 200,000 pelancong antarabangsa menerusi 52 pelayaran Genting Dream Cruise membabitkan laluan Singapura-Melaka bermula November depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Resort World (RW) Cruises yang mengendalikan kapal persiaran mewah itu akan memperkenalkan pakej '2 Night Cruises' dengan menjadikan Melaka sebagai destinasi persinggahan baharu mereka.

"Kehadiran Genting Dreams Cruise di Melaka dengan pakej 2 Night Cruises ini adalah peluang yang sangat baik untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

“Selama 12 jam tempoh berlabuh di Melaka, saya percaya pelawat ini mempunyai banyak masa menikmati keindahan warisan, budaya, makanan dan pengalaman beli-belah yang ditawarkan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Presiden RW Cruises Pte Ltd Michael Goh.

Ab Rauf berkata sektor pelancongan Melaka menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan jumlah pelancong direkodkan sehingga Julai 2024 mencecah 8,714,386 orang, meningkat sebanyak 84.55 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Beliau berkata peningkatan jumlah pelancong itu mencerminkan keyakinan dan kepelbagaian produk pelancongan ditawarkan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan