AM > BERITA

Dream Forest Sasar 400,000 Pengunjung Sempena Tahun Melawat Kedah 2025

19/08/2024 01:45 PM

LANGKAWI, 19 Ogos (Bernama) -- Dream Forest Langkawi, pusat tarikan pelancong berkonsep persekitaran hutan dengan elemen interaktif dan simulator maya, menyasarkan kehadiran hingga 400,000 pengunjung pada tahun depan seiring dengan kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Pengurus Besarnya Razak Nayan berkata sejak dibuka pada Mei tahun lepas, sejumlah 120,000 pelancong telah berkunjung ke taman tema itu dan dijangka akan mencecah 200,000 orang hujung tahun ini.

"Kami menyasarkan kehadiran pengunjung dua kali ganda tahun depan sebab adanya TMK 2025, yang kita jangka kedatangan pelancong ke Kedah khususnya Langkawi akan meningkat.

"Pelbagai promosi juga dirancang termasuk menawarkan diskaun tiket, promosi dan iklan di semua platform serta menyertai program pelancongan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata aktiviti dan elemen tambahan menarik lain turut akan diperkenalkan di taman tema itu sepanjang tahun depan bagi memberikan pengalaman menakjubkan kepada pengunjung.

Selain itu, Razak berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pemain industri pelancongan lain di pulau peranginan itu dalam mempromosi taman tema tersebut.

"Setakat ini kami banyak menerima maklum balas yang positif daripada pengunjung termasuk dari luar negara dan rata-rata menyatakan suasana di dalam Dream Forest memang menarik.

"Sebelum ini, Langkawi mungkin kurang tarikan pada waktu malam kecuali di Pantai Chenang, jadi dengan adanya taman tema ini ia mewujudkan tarikan baharu pada waktu malam," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan