AM > BERITA

HKHM2024: Muat Naik Video, Gambar Di Media Sosial Dengan Tanda Pagar #KibaranJiwaMerdeka

20/08/2024 04:33 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia digalakkan memuat naik video dan gambar mengibarkan Jalur Gemilang pada tanggal 31 Ogos dan 16 September ini di platform media sosial dengan tanda pagar #KibaranJiwaMerdeka.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan ia merupakan kempen Kibaran Jiwa Merdeka diperkenalkan KPN untuk meningkatkan semangat patriotrik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Semua rakyat Malaysia yang berada di dalam mahupun luar negara diminta untuk mengambil bahagian dalam kempen ini,” menurut kenyataan itu. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah, sebaliknya kemampuan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki semangat cinta negara. 

“Melalui konsep Malaysia MADANI, ia kunci utama bagi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Sehubungan itu, Aaron menyeru agar semua rakyat Malaysia dapat mengambil bahagian dalam Kempen Kibaran Jiwa Merdeka . 

Beliau berharap agar media sosial diserikan dengan gambar-gambar patriotrik yang akan menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia serta menanam pohon-pohon perpaduan.

“Kementerian berharap agar kempen ini secara tidak langsung dapat meraikan kepelbagaian, mempromosikan kebersamaan seterusnya membentuk jati diri yang dapat membina semangat cintakan negara,” katanya. 

‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan