AM > BERITA

Penghayatan Rukun Negara Perlu Diterap Seawal Prasekolah - Saraswathy

20/08/2024 01:44 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Penghayatan Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara harus diterapkan seawal peringkat prasekolah seperti di Tadika Perpaduan hingga pendidikan tinggi, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K.Saraswathy.

Beliau berkata sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menggerakkan usaha bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Komunikasi serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan masyarakat melalui pendidikan Rukun Negara.

"Kerajaan dan rakyat perlu menjalankan peranan masing-masing untuk memupuk dan membina perpaduan nasional dalam kepelbagaian bagi mencerminkan realiti Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

 "Selain itu, kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama mendukung Perlembagaan Persekutuan dan mempertahankannya kerana ia merangkumi kontrak sosial yang negara ini dirikan dan memberikan perlindungan hak untuk semua rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Mural Rukun Negara Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 dan Pelancaran Program Arkib@Sekolah di sini hari ini.

Saraswathy berkata KPN melalui Majlis Mesyuarat Penasihat Perpaduan Negara sebelum ini telah meluluskan Modul Penghayatan Rukun Negara dibangunkan dan diaplikasikan di enam zon negeri bagi membentuk kemenjadian Belia Menjiwai Rukun Negara. 

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Marhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin sebagai asas perpaduan dan pegangan leluhur rakyat Malaysia selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Sementara itu, Pertandingan Melukis Mural Rukun Negara berkenaan merupakan satu daripada usaha KPN melalui Arkib Negara Malaysia bagi memupuk semangat patriotisme, memperkukuhkan penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara serta memperkasakan penghayatan terhadap sejarah, budaya dan warisan negara.

Pertandingan itu bermula pada Mei lepas dan dibuka kepada semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 

Terdahulu, Saraswathi turut menyampaikan hadiah kepada lima pemenang iaitu juara diraih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5(1), SMK Maxwell Kuala Lumpur (naib juara), SMK Putrajaya Presint 14(1) (ketiga), SMK St Anthony, Labuan (keempat) dan SMK St Gabriel, Kuala Lumpur (kelima).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan