AM > BERITA

Malaysia, India Tingkat Hubungan Kepada Perkongsian Strategik Komprehensif - PM Anwar

20/08/2024 06:35 PM

Oleh V. Sankara

NEW DELHI, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan India bersetuju meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke India sejak semalam berkata keputusan bersama untuk meningkatkan hubungan kepada CSP itu menandakan satu langkah ke hadapan yang penting.

Beliau mengakui hubungan yang lama terjalin antara Malaysia dan India, sejak di zaman pentadbiran Perdana Menteri India yang pertama Jawaharlal Nehru dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman, dan menekankan kepentingan untuk mengukuhkan lagi hubungan ini merentasi pelbagai bidang.

“Ini mesti diperkukuhkan lagi dalam pelbagai bidang,” kata Anwar yang mengetengahkan sektor seperti pelaburan digital, perdagangan, pembinaan, pertanian, pendidikan, penyelidikan, dan kerjasama ketenteraan, termasuk operasi bersama untuk menjaga sempadan.

Anwar berkata demikian dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi di Hyderabad House di sini hari ini.

Status hubungan dua hala Malaysia-India sebelum ini ditingkatkan kepada ESP pada 2015 semasa lawatan Modi ke Malaysia.

Sementara itu Anwar mengucapkan terima kasih kepada Modi dan kerajaan India atas layanan mesra mereka dan menegaskan bahawa Malaysia menganggap India sebagai "kawan yang hebat dan sejati".

Beliau berkata perbincangannya dengan Modi, baik dalam mesyuarat dua hala mahupun perbualan peribadi, cukup terbuka dan terus terang, meliputi semua isu, termasuk isu sensitif, yang mencerminkan erti persahabatan yang sebenar.

"Kami telah wujudkan persefahaman mengenai beberapa isu," katanya sambil menambah bahawa terdapat banyak bidang kerjasama boleh diteroka dengan lebih lanjut.

Semasa menyuarakan kesal kerana tiada kemajuan dalam hubungan kedua negara dilihat beberapa tahun kebelakangan ini, Anwar menekankan potensi kerjasama yang lebih besar dan memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh semula hubungan kerja ini dalam semua bidang.

Anwar seterusnya memuji kekayaan sejarah, budaya, dan tamadun India, sejajar dengan masyarakat berbilang budaya dan agama di Malaysia sendiri. 

Beliau berkata persamaan antara kedua-dua negara melangkaui bidang perdagangan dan pelaburan, yang merangkumi aspek budaya. 

Perdana Menteri turut menyentuh inisiatif dan program baharu yang akan menggalakkan kerjasama lanjut antara syarikat-syarikat India dan Malaysia, khususnya dalam bidang yang mencabar seperti peralihan tenaga, pendigitalan dan keterjaminan makanan.

Beliau secara khusus menekankan kepentingan kerjasama dalam industri semikonduktor, dengan Malaysia diiktiraf sebagai hab di Asia Tenggara, dan mengiktiraf pencapaian India dalam bidang ini.

Merujuk kepada isu seperti penerbangan, visa dan bidang lain yang menjadi perhatian bersama, Anwar menyatakan bahawa tempoh tiga bulan telah ditetapkan, bagi memastikan tindakan segera dan dan kemajuan yang pantas, mencerminkan pendekatan Modi yang berorientasikan hasil.

Anwar menegaskan komitmennya untuk membuktikan bahawa Malaysia dan India akan muncul sebagai dua negara yang kuat dan mesra dalam jangka masa yang singkat, meliputi pelbagai bidang daripada kesihatan dan pendidikan kepada tenaga dan inovasi digital.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan