AM > BERITA

Anwar Diberi Sambutan Rasmi Di Rashtrapati Bhavan

20/08/2024 01:15 PM

Daripada V.Sankara

NEW DELHI, 20 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Rashtrapati Bhavan, Istana Presiden India di sini pada Selasa, bersempena dengan lawatan tiga hari beliau ke India.

Anwar yang berada di negara ini dari 19 hingga 21 Ogos, disambut Perdana Menteri India Narendra Modi sebaik tiba pada 9 pagi.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum pemimpin berkenaan memperkenalkan delegasi masing-masing.

Selepas sambutan rasmi itu, Anwar meneruskan lawatan ke Tugu Peringatan Ghandi di Kompleks Memorial Raj Ghat bagi upacara mengalungkan bunga. 

Perdana Menteri kemudian menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India Dr S. Jaishankar di sebuah hotel di sini.

Anwar dijadualkan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Modi di Nilgiri Suite, Hyderabad House, diikuti perbincangan bersemuka pada tengah hari di lokasi sama.

Beliau kemudian akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) di Hyderabad House sebelum mengadakan sidang media bersama Modi.

Selepas itu, Modi akan menjadi hos jamuan makan tengah hari sebelum Anwar mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden India Droupadi Murmu di Rashtrapati Bhavan.

Pada sebelah petang, Anwar akan menyampaikan syarahan bertajuk Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties di Sapru House, Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA).

Beliau akan menamatkan hari kedua lawatan dengan sesi libat urus bersama diaspora Malaysia di Dewan Serbaguna, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India.

Lawatan ini ialah kunjungan kali pertama Anwar ke India sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan