AM > BERITA

Isu 3R: Muhyiddin Serah Beberapa Dokumen Kepada Polis

21/08/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung ucapannya semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Muhyiddin berkata dokumen itu diserahkan ketika polis mengambil keterangan beliau di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada pukul 11 pagi tadi.

"Dengan penjelasan saya kepada pihak polis berserta dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada mereka, saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.

"Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi Raja Berperlembagaan jangan dipersoalkan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan telah menjelaskan tuduhan terhadapnya yang didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) adalah tidak benar dan berniat jahat.

"Ucapan saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi raja di negara ini. Ia adalah ucapan kempen pilihan raya di mana saya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) secara sepintas lalu dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.

"Namun begitu, terdapat pihak yang telah memutar belit ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Ke bawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah (Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan menghasut rakyat supaya membenci Raja," katanya.

Muhyiddin didakwa membuat ucapan menyentuh isu 3R semasa kempen PRK DUN Nenggiri, Kelantan baru-baru ini dan beliau juga dikatakan mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tindakan itu membangkitkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu, selain menyebabkan ramai pihak membuat laporan polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan