AM > BERITA

Mpox: Rujuk Dahulu Kenyataan Rasmi KKM Untuk Sahkan Berita Tular - Fahmi

21/08/2024 06:54 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Orang ramai diminta merujuk kenyataan rasmi kementerian atau agensi berkaitan untuk mengesahkan sebarang berita tular, termasuk mengenai kes jangkitan cacar monyet atau Mpox, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Merujuk kepada imej tular mengenai dakwaan Mpox kini merebak di Singapura, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan bahawa perkara itu tidak benar. 

"Sekiranya ada isu tular boleh rujuk dengan kementerian berkaitan termasuk isu Mpox, boleh rujuk dengan KKM jika kita terima maklumat daripada sumber yang tidak boleh disahkan, atau kalau kita terima maklumat, (jadi) kita perlu lakukan sedikit pengesahan," katanya dalam sidang media di sini hari ini selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

KKM menerusi laman rasmi Facebook semalam tampil menjelaskan imej yang ditularkan bukan imej kes Mpox sebaliknya merupakan imej mangsa kecederaan peluru tabur seperti yang disiarkan dalam artikel berita daripada satu laman sesawang luar negara pada 17 Sept 2022.

Pada 15 Ogos lepas, KKM telah mengesahkan tiada kes baharu Mpox dilaporkan dalam negara setakat ini, meskipun berlaku peningkatan kes penyakit tersebut di rantau Afrika baru-baru ini. 

KKM memaklumkan di Malaysia, jumlah keseluruhan Mpox yang disahkan setakat ini ialah sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan yang terakhir pada November 2023.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan